10 November 2008

73 Layak Bertanding Majlis Tertinggi

KUALA LUMPUR 9 Nov. (Utusan Malaysia) - Seramai 73 calon layak bertanding merebut 25 jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.

Mengetuai senarai calon yang layak ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar yang mengumpul 158 pencalonan.

Ia diikuti Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang berkongsi tempat kedua selepas menerima pencalonan yang sama banyak iaitu 143.

Paling mencuri perhatian ialah pencapaian Bendahari Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman yang berada di tempat keenam dengan 132 pencalonan walaupun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet.

Selain Zainal Abidin, lima calon yang tidak mempunyai jawatan dalam Kabinet ataupun bergelar Menteri Besar dan Ketua Menteri berjaya menempatkan diri dalam senarai 25 calon yang paling banyak menerima pencalonan.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Senator Datuk Azian Osman yang menerima 120 pencalonan; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (120); Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (89); Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussain (74) dan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria (72).

Pencalonan untuk jawatan MT juga menunjukkan trend sokongan yang kuat terhadap calon muka baru untuk mengisi jawatan tersebut.

Antara yang menonjol ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menerima 129 pencalonan, diikuti Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad (81) dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Husni Ahmad Hanadzlah (87).

Dua calon yang layak bertanding jawatan Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Datuk Seri Syed Hamid Albar juga berjaya melepasi kuota kelayakan 10 pencalonan untuk merebut jawatan ahli MT.

Jamaludin menerima pencalonan daripada 29 bahagian manakala Syed Hamid pula 12.

Selain itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang telah layak bertanding jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita UMNO turut menerima kepercayaan perwakilan untuk merebut jawatan ahli MT.

Shahrizat menerima 27 pencalonan dan berada di kedudukan ke-45 daripada senarai 73 calon yang layak bertanding.

0 ulasan: