KUALA LUMPUR 2 Nov. (Utusan Malaysia) - Persaingan jawatan Timbalan Presiden UMNO semakin mencuri tumpuan apabila dua calon yang belum melayakkan diri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib semakin menghampiri kuota kelayakan 39 pencalonan.
Mohd. Ali yang merupakan Ketua Menteri Melaka memerlukan tujuh pencalonan lagi untuk melepasi kuota kelayakan selepas mengumpul 32 pencalonan setakat hari ini.
Tambahan pencalonan itu diperolehnya daripada bahagian Teluk Kemang, Ayer Hitam, Tampin, Tanjung Malim, Indera Mahkota dan Kota Belud.
Sementara itu, Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pula sehingga kini telah menerima 30 pencalonan iaitu kurang sembilan daripada kuota kelayakan.
Beliau hari ini menerima pencalonan daripada bahagian Kota Raja, Jerantut, Kapar, Pandan, Klang, Cameron Highlands, Teluk Intan dan Puchong.
Peluang untuk kedua-dua calon itu melayakkan diri akan ditentukan oleh para perwakilan daripada 49 bahagian yang akan bersidang dalam tempoh tujuh hari bermula esok.
Setakat ini, seorang sahaja calon sudah melayakkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang selesa mendahului dengan 79 pencalonan.
Sebanyak 10 daripada 24 bahagian UMNO yang bersidang hari ini telah mencalonkan Muhyiddin.
Bahagian-bahagian terbabit ialah Tawau, Segamat, Kulim/Bandar Baharu, Batu Kawan, Sekijang, Balik Pulau, Bentong, Labuan, Kuala Pilah dan Muar.

0 ulasan:
Catat Ulasan