10 November 2008

Mat Taib Layak Bertanding Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR 9 Nov. (Utusan Malaysia) - Selepas lebih dua dekad tidak dipertandingkan, jawatan Timbalan Presiden UMNO akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada pemilihan parti itu Mac depan apabila Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, 63, menjadi calon ketiga layak merebut jawatan itu.

Beliau melepasi kuota 39 pencalonan untuk layak bertanding jawatan itu apabila mendapat sembilan lagi pencalonan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pencalonan yang diperolehnya sebanyak 46.

Pencalonan terbaru itu datang daripada bahagian Tanjong Karang, Ampang, Kelana Jaya, Hulu Selangor, Tenggara, Kuala Lipis, Sungai Siput, Bayan Baru dan Kota Marudu.

Dengan sokongan bahagian- bahagian itu, beliau kini boleh menyertai dua lagi Naib Presiden yang telah memperoleh tiket untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, 61, dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, 59.

Jawatan berkenaan dikosongkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanding jawatan Presiden.

Hari ini, Najib yang telah menang tanpa bertanding sebagai Presiden pada Ahad lalu, memperoleh 20 lagi pencalonan menjadikan kesemuanya 184 bahagian mencalonkan beliau sebagai Presiden.

Semalam, Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka menjadi calon kedua melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan Naib Presiden.

Beliau menambah lima lagi pencalonan hari ini daripada bahagian Ipoh Timur, Rembau, Bukit Bendera, Lembah Pantai dan Kudat menjadikan kesemuanya 46 pencalonan.

Pada 19 Oktober lalu, Muhyiddin menjadi calon pertama layak bertanding apabila berjaya memperoleh kuota yang ditetapkan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kini berada jauh ke hadapan dengan 91 pencalonan menyokongnya setelah tempoh mesyuarat bahagian berakhir hari ini.

Enam bahagian terbaru yang mencalonkan Muhyiddin ialah Putatan, Pengerang, Libaran, Temerloh, Putrajaya dan Arau.

Perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO kali ini cukup menarik kerana inilah kali pertama ia membabitkan individu yang mempunyai latar belakang berbeza iaitu Senator (Muhammad), Ahli Parlimen (Muhyiddin) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Mohd. Ali).

Pertandingan itu juga akan menyaksikan perebutan antara penyandang naib presiden sedia ada iaitu Muhyiddin dan Mohd. Ali dengan Muhammad pernah memegang jawatan naib presiden selama dua penggal.

Muhammad dan Mohd. Ali pula masing-masing merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Melaka, manakala Muhyiddin ialah Ketua UMNO Bahagian Pagoh.

Kali terakhir jawatan berkenaan dipertandingkan ialah pada 1987 yang membabitkan pertandingan dua penjuru apabila Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba mencabar penyandang jawatan, Tun Musa Hitam.

Ghafar menang dengan kelebihan 40 undi.

Selepas itu, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dengan restu Majlis Tertinggi (MT) parti.

Bagaimanapun, pada 1993, pertandingan hampir menjadi kenyataan antara Ghafar dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, Anwar menang tanpa bertanding selepas Ghafar menarik diri.

Dalam pada itu, lima bahagian yang menangguhkan persidangan hari ini atas pelbagai sebab ialah Pengkalan Chepa, Tanah Merah, Larut, Tenom dan Seremban.

Pencalonan daripada empat bahagian itu tidak akan memberikan apa-apa makna kerana seorang lagi calon bagi jawatan Timbalan Presiden iaitu Datuk Shahrir Abdul Samad sehingga kini hanya mendapat satu pencalonan.

Dua bahagian iaitu Pekan dan Kepala Batas tidak membuat pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden seperti yang diputuskan oleh MT parti.

0 ulasan: