10 November 2008

Timbalan Presiden : Sah Pertandingan Tiga Penjuru

Dari Agendadaily :-

Seperti yang diramalkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sudah layak bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Menjelang tengah hari Ahad, Ketua Penerangan UMNO itu dapat tiga pencalonan dari Kelana Jaya, Hulu Selangor dan Ampang menjadikan 39 untuk cukup kuota.

Beliau kemudiannya dapat pencalonan dari UMNO Bahagian Tanjong Karang, Lipis, Tenggara, Sungai Siput, Bayan Baru dan Batu Sapi.

Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga tambah pencalonan jadi 46. Bahagian-bahagian yang calonkan beliau Ahad ialah Kudat, Lembah Pantai, Bukit Bendera, Rembau dan Ipoh Timur.

Tan Sri Muhyiddin Yassin terus berada jauh di depan dengan 91 pencalonan. Beliau dapat dari bahagian Putrajaya, Pengerang, Putatan, Libaran dan Arau.

Semuanya 183 bahagian buat pencalonan - tolak Kepala Batas dan Pekan (2 yang tak calon dan Gua Musang bagi Datuk Shahrir Samad (1) dan lima bahagian Larut, Tenom, Seremban, Tanah Merah dan Pengkalan Chepa belum mesyuarat atau teknikal (5) jadi semua 191 bahagian.

Mengulas pencalonan yang diperolehinya yang melayakkan beliau untuk menyertai pertandingan, Muhammad percaya perwakilan akan membuat penilaian berlandaskan beberapa faktor terutama kewibawaan seseorang calon untuk membawa kestabilan dalam parti sebelum dipilih sebagai seorang Timbalan Presiden.

Beliau yang ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya petang Ahad gembira kerana berjaya melepasi kuota pencalonan yang membolehkan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO Mac depan.

Beliau mendapat lesen pencalonan ke 39 dari UMNO Bahagian Hulu Selangor yang mana beliau pernah menerajui bahagian tersebut dari tahun 1982 hingga 1998.

Mengulas tentang terpaksa menunggu pada minggu terakhir untuk mendapatkan 'lesen' bertanding, Muhammad memberitahu beliau syukur kerana sudah dapat 'lesen' dan apa yang berlaku kerana banyak UMNO Bahagian di Selangor lewat mengadakan mesyuarat masing-masing termasuklah bahagian Kelana Jaya yang diketuainya.

Sebelum itu, semasa menyampaikan ucapan penangguhan mesyuarat tersebut, Muhammad mahu sistem kuota dan cara pemilihan parti dikaji semula.

"Semasa pilihan raya memerlukan dua orang sebagai pencadang dan penyokong sahaja untuk jadi calon tetapi kenapa pula dalam pemilihan UMNO perlu ada hingga 40 pencalonan untuk bolehkan seseorang itu bertanding, ianya perlu diubah bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," tambahnya.

Ditanya peranan yang bakal dimainkannya jika diberi peluang, beliau yang juga Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar mahu segala kecuaian yang ada sedikit sebanyak dalam parti dapat diperbaiki dan diperbetulkan.

"Kita perlu ketepikan masalah remeh temeh dan kecil kerana perkara itu telah menyebabkan rakyat menolak BN di Selangor tanpa mengambilkira kejayaan besar yang telah dilakukan oleh BN semasa menerajui negeri itu," jelasnya.

Katanya, "Saya tidak boleh terima rakyat tolak kita setelah kita buat sesuatu kejayaan yang luar biasa pada negeri Selangor, kita jadikan Selangor negeri maju 15 tahun lebih awal daripada negeri lain."

"Ianya sudah tentu bukan sebab kejayaan ini, saya merasakan sebab-sebab remeh seperti ada pemimpin kurang menjenguk rakyat, calon yang tidak bersesuaian atau tidak diterima oleh masyarakat dan mungkin berlaku persengketaan antara pemimpin sehingga ada yang sanggup mengalahkan calon. Bila perkara ini tidak dikawal, akhirnya mereka tidak sangka yang suatu hari rumah itu akan runtuh. Ini yang saya katakan perkara remeh berlaku dibanyak tempat menyebabkan kita kalah satu negeri." kata Muhammad.

Ketika dikaitkan keputusan pilihan raya umum lepas di mana banyak pihak beranggapan UMNO sudah semakin tidak relevan dan UMNO perlu direvolusikan, bekas Menteri Selangor itu mempertahankan kewibawaan UMNO yang mendukung Barisan Nasional (BN) kerana masih berjaya memenangi 79 kerusi daripada 107 kerusi yang ditandingi oleh calon-calon dari UMNO.

"Rakyat masih lagi memilih calon-calon dari UMNO untuk memenangi kerusi yang ditandingi semasa pilihan raya, dakwaan UMNO kalah adalah meleset tetapi perlu diakui bahawa UMNO kalah di sesetengah negeri", tambahnya.

Mengenai tanggapan UMNO sudah tidak kukuh dan sebabkan parti komponen mula 'tunjuk belang', Muhammad berkata, "ada cubaan sesetengah pihak menuduh orang lain di atas kelemahan diri sendiri. Anggota komponen yang berada dalam Majlis Tertinggi BN dan kabinet boleh bersuara serta memberi pendapat tanpa menimbulkan mereka dianaktirikan."

Menurutnya, persoalan penting sekarang ialah selepas pilihan raya umum dan kalah di kawasan tertentu baru timbul pelbagai tuduhan. Sekarang adalah masa untuk mendapatkan keyakinan daripada pengundi-pengundi dari pelbagai kaum untuk kembali menyokong BN.

Mengulas bagaimana untuk berperanan bagi membangkitkan semula sokongan, beliau berkata, "Semua pihak kena bersama-sama memberi penjelasan terhadap apa yang telah kita laksanakan dan tidak hanya berdasarkan persepsi semata-mata."

"Kita perlu memberitahu realiti, apa yang telah diperolehi oleh semua kaum di negara kita ini, apa yang mereka telah dapat, siapa yang menguasai ekonomi dan dalam berbagai bidang, persepsinya mengatakan mereka ketinggalan tetapi realitinya tidak seperti yang digembar-gemburkan," jelasnya.

Berhubung tindakan sesetengah ahli UMNO yang mengubah haluan sokongan pada pembangkang, Muhammad yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, "Saya fikir terlalu banyak kejadian pada satu masa, tidak puas hati pada kepimpinan, pihak atas tidak puas hati pada kepimpinan di tengah dan ada rasa tak puas hati dengan kepimpinan di bawah."

"Dan ada tak puas hati dengan cara pemberian tender di peringkat perbandaran atau daerah, pemimpin tidak rapat dengan pihak masjid dan bermacam-macam lagi, akhirnya menimbulkan tuduhan bahawa UMNO keseluruhannya tidak baik," katanya.

Muhammad berkata, "Sebenarnya isu-isu ini boleh diatasi sekiranya semua pihak di semua peringkat membuat pembetulan dan dapat menangani isu-isu yang dihadapi ini dengan baik."

Akhirnya Muhammad mengharapkan sokongan bagi membolehkan dirinya turut memperkuat UMNO, dapat meneruskan perjuangan agama, bangsa dan tanah air di samping ingin melihat orang Melayu menjadi maju.

"Kita mahu lihat orang Melayu ada tempat di tanah airnya sendiri dan orang Melayu maju bukan sahaja di negaranya tetapi di peringkat antarabangsa dengan menjadi pakar dalam pelbagai bidang," ujarnya.

Sementara itu Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas mengenai pertembungan tiga penjuru bagai jawatan Timbalan Presiden berkata, pencalonan tersebut merupakan keputusan yang telah dibuat oleh ahli-ahli UMNO dan merupakan kehendak mereka.

Dengan itu katanya, sudah tentu akan wujud tiga kumpulan yang menyokong calon masing-masing.

“Harapan saya ialah apa yang akan berlaku… tiga kumpulan akan muncul dan beri sokongan kepada tiga orang calon… selepas itu saya harap tidak ada berlaku apa-apa perpecahan, apa-apa pergaduhan dan kembali balik dalam satu barisan,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai dakwaan wujudnya amalan politik wang, Abdullah berkata, sehingga pemilihan Mac tahun depan, pertarungan yang hebat sudah pasti berlaku dan tidak mustahil amalan politik wang akan semakin menjadi-jadi.

“Sebagai ahli UMNO kita mesti tahu kelola parti dan memahami pemilihan ini satu amalan demokrasi dalam parti…jadi pastikan pemilihan ini tidak berlakunya perbuatan-perbuatan yang tidak elok yang memburukkan nama UMNO dan parti kita.

“Yang penting ahli UMNO kalau mereka sendiri harap dapat wang untuk undi yang akan mereka berikan, maka politik wang tak akan selesai, akan terus menerus,” tambah beliau.
- 9/11/2008

2 ulasan:

Wan Azhar berkata...

Please update the YBK website. It is full of broken links. I cannot register as a volunteer, see any calendar of activities that I can participate in or even email your good office.

Dato' Zainal berkata...

Terima kasih di atas keprihatinan saudara