20 Disember 2008

BN Perjelas Isu Sehingga Ke Akar Umbi Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Umno akan menumpukan perhatian dalam usaha memberi penjelasan isu-isu semasa pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu Januari depan, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Katanya, setiap langkah yang diambil atau apa saja pendekatan yang digunakan kerajaan yang biasanya akan dijadikan modal pembangkang terutama dalam kempen dan ceramah mereka, akan diperjelas dengan sebaiknya kepada pengundi Parlimen Kuala Terengganu.

“Dari sekecil-kecil isu kepada yang sebesar-besarnya, akan kita perjelaskan sebaik mungkin sehingga ke akar umbi supaya rakyat dapat melihat gambaran yang yang lebih luas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan pakaian sekolah untuk pelajar lepasan taman didikan kanak-kanak (Tadika) Kemas kawasan Parlimen Kuala Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata penerangan seumpama itu penting kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) ada kalanya terlalu terpengaruh dengan isu kecil yang timbul sehingga terlupa menjelaskan perkara yang telah dilaksanakan kerajaan.

“Contohnya, langkah kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak tujuh kali sehingga lebih rendah daripada harga asal, dan penubuhan suruhanjaya-suruhanjaya yang telah dipersetujui di Parlimen. Ini menunjukkan kesungguhan dan ketelusan kita walaupun kerajaan tidak mempunyai dua pertiga majoriti di Parlimen,” katanya. - Bernama

0 ulasan: