23 Disember 2008

Semua Pengundi Bijak Buat Pilihan

KUALA LUMPUR (Harian Metro) : “Saya yakin pengundi di Kuala Terengganu sudah bijak menilai yang mana intan dan kaca bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu,” kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, semalam.

Malah, Muhammad berkata, calon BN (Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh) adalah seorang yang berkaliber dan berwibawa serta boleh diterima warga Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, calon Umno yang ditampilkan ini bukan saja mantap, berpendidikan tinggi malah memiliki tahap pendidikan tinggi yang mampu memberikan khidmat terbaik kepada pengundi.

“Kelebihan yang ada pada calon Umno ini bakal menguntungkan pengundi terutama berdasarkan sumbangan serta pengalaman yang diperoleh dalam kerajaan dan politik negara,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Muhammad yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah diminta mengulas pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Pengumuman calon itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di depan lebih 5,000 penyokong BN di Kuala Terengganu, kelmarin.

Pilihan raya itu diadakan selepas penyandang yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands hujung bulan lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan tokoh Pas, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

Mengulas kemampuan calon BN itu, Muhammad berkata, beliau yakin selain faktor calon yang berkaliber, kemampuan kerajaan BN yang sudah banyak membawa pelbagai pembangunan ke Terengganu juga bakal menjadi titik tolak kepada pemilihan semula parti bagi mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau berkata, rakyat termasuk di Terengganu sudah melihat pelbagai usaha reformasi yang dibawa BN termasuk yang terkini Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan Suruhanjaya Rasuah Malaysia.

“Dua suruhanjaya yang diluluskan minggu lalu menunjukkan komitmen kerajaan memastikan janji dapat dikotakan.

“Saya yakin rakyat sedar usaha BN memastikan pembangunan berterusan bukan saja di Terengganu malah di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, kerjasama erat dan kukuh semua pihak termasuk pimpinan dan ahli Umno di Kuala Terengganu juga bakal menjadikan kerusi itu kekal milik BN.

“Apa yang ingin saya katakan, warga Kuala Terengganu cukup beruntung kerana ditampilkan dengan seorang calon BN yang memiliki `track record’ yang boleh dibanggakan.

“Malah, saya yakin BN dan Umno khususnya akan menggerakkan semua jentera bagi memastikan kerusi itu terus kekal dalam pentadbiran kerajaan BN,” katanya.

0 ulasan: