23 Mac 2009

Mohd Ali Tunjuk Sikap Yang Baik, Kata Abdullah

BANDARAYA KUWAIT, 22 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyifatkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai seorang yang sayang dan setia kepada Umno.

Beliau berkata ini berdasarkan kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Melaka itu berikutan tindakan Panel Rayuan Umno mengekalkan keputusan bahawa beliau tidak boleh bertanding kerusi Timbalan Presiden pada pemilihan Umno minggu depan.

Presiden Umno itu berkata Mohd Ali telah menyatakan bahawa beliau akan terus berkhidmat untuk Umno di samping menjaga nama baik parti.

"Ini pada saya adalah sikap yang baik," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi beliau ke Kuwait sebagai mengulas keputusan Panel Rayuan itu.

Abdullah berkata Mohd Ali nampaknya tidak merajuk, bahkan bersedia meneruskan perjuangan untuk kejayaan parti di masa depan.

Lembaga Disiplin Umno sebelum itu mendapati Mohd Ali bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno dan dilarang daripada bertanding atau terpilih sebagai Timbalan Presiden Umno. Beliau mengemukakan rayuan bertarikh 18 Mac.

Ditanya tentang penyokong Mohd Ali yang mempertikaikan keputusan itu, Abdullah berkata: "Semuanya bergantung kepada Datuk Ali. Datuk Ali tentu memahami, penyokong-penyokongnya tentulah rasa sedih kerana dia tak dapat bertanding.

"Penyokong dia sentiasa mahu dia menjadi seorang pemimpin parti yang berjaya. Tapi apa boleh buat, semua ini dah berlaku begitu," katanya.

Abdullah berharap Mohd Ali akan meneruskan tanggungjawab beliau kepada negeri dan Umno pada waktu ini selain peranan lain yang boleh beliau lakukan demi kejayaan parti.

0 ulasan: