14 Mac 2009

Umno Perlukan 'Restorasi Meiji' Untuk Kembali Kuat

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Ketika kekuatannya dilihat semakin terhakis, Umno perlu segera melakukan proses ala "Restorasi Meiji", yang menyaksikan kebangkitan Jepun selaku gergasi ekonomi dunia sejak 150 tahun lepas, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Seperti juga restorasi di Jepun itu, proses restorasi dalam Umno sejajar dengan perubahan landskap politik negara untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti yang menjadi tunjang kepada kerajaan sejak dahulu lagi, katanya dalam satu temu bual dengan Bernama menjelang pemilihan parti hujung bulan ini.

Muhammad, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, berkata Umno perlu kembali kepada asas pembentukannya pada 1946, di mana Umno disertai ahli badan dan persatuan yang memperjuangkan kepentingan Melayu.

"Pada 1946 Umno tiada. Apa yang ada ialah persatuan guru, persatuan penulis dan persatuan pinggan mangkuk di kampung serta persatuan anak Kelantan, Terengganu dan Pahang. Barangkali kita sudah tersisih daripada kumpulan ini," katanya.

Beliau berkata ini kerana persepsi rakyat khasnya orang Melayu kepada Umno telah berubah sejak akhir-akhir ini sekalipun parti itu terbukti banyak berjasa kepada orang Melayu.

Muhammad berkata sudah tiba masanya Umno mendekatkan badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan dewan perniagaan yang memperjuang kepentingan orang Melayu dengan Umno.

Katanya proses restorasi Umno juga perlu memberi ruang kepada falsafah dan idea generasi muda didengari kerana mereka ini memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat.

"Orang muda nak ketelusan dan sesuatu yang adil maka Umno perlu ada pendekatan baru dan sesuai," katanya.

Sejajar dengan proses restorasi itu, Muhammad berkata Umno juga perlu melakukan perubahan dalam pendekatannya untuk menarik sokongan masyarakat termasuk bukan Melayu.

Dalam konteks itu, beliau memberi contoh bagaimana PAS tidak lagi menggunakan Amanat Haji Hadi yang ekstrem sebaliknya menggunakan slogan "PAS Is For All" bagi menarik sokongan bukan Melayu.

"Kena ubah ikut kehendak semasa, atau, Umno akan terus ketinggalan," kata Muhammad.

Katanya beliau yakin proses restorasi itu boleh dilakukan sekiranya pemimpin Umno dapat menentukan hala tuju parti itu seperti kejayaan pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar, menyatukan orang Melayu pada 1946 dengan satu tujuan iaitu menentang penjajah.

"Kalau orang Melayu hendak selamat maka proses restorasi untuk satukan orang Melayu untuk kukuhkan diri (kaum itu) harus diadakan balik," katanya menambah proses restorasi itu perlu dilakukan dengan segera dengan melibatkan semua pihak secara jujur dan ikhlas.

0 ulasan: