28 April 2009

BN Harus Rangka Strategi Di Luar Kotak Menawan Penanti

SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) harus 'berfikir di luar kotak' dalam strategi untuk mengatasi corak kempen pembangkang yang tidak bersopan seperti yang berlaku pada beberapa pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini, jika bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata BN harus merangka pendekatan baru pada pilihan raya kecil itu sehingga membuatkan pakatan PAS-DAP-PKR sentiasa teragak-agak dengan langkah BN seterusnya.

"Seperti yang kita sedia maklum, ramai di kalangan pemimpin akar umbi dalam pembangkang terdiri daripada bekas pemimpin Umno dan BN dan mereka tahu sangat akan pendekatan dan strategi BN seperti perang saraf dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melepaskan Motosikal keluaran Naza Bikes Sdn Bhd ke Iran dan Brunei di sini, Selasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.

Kerusi DUN Penanti itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 16 April lepas.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Biro Politik Umno yang dipengerusikannya akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada wakil parti itu akan bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.

Mukhriz juga berkata walaupun ada dakwaan kononnya BN berada dalam situasi parti bukan pilihan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, namun kedudukannya sebagai parti 'underdog' kadang-kadang ada kelebihannya tersendiri, yang mungkin boleh diguna pakai untuk meraih undi.

Beliau berkata, BN mungkin boleh mengguna pakai 'analogi undi simpati' yang digunakan pembangkang untuk meraih undi pada pilihan raya kecil Bukit Gantang, Perak 7 April lepas.

"Jika dikatakan PAS menang disebabkan undi kasihan pada pilihan raya Bukit Gantang, maka saya percaya BN ada peluang cerah jika guna pakai analogi sama dalam pilihan raya Penanti," katanya yang bersetuju dengan pendapat bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya BN bertanding pada pilihan raya kecil itu.

0 ulasan: