03 Mei 2009

Shafie Pantau Pelaksanaan Projek Luar Bandar

MELAKA, 2 Mei (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang memantau pelaksanaan projek yang melibatkan peruntukan RM1 bilion bagi membantu masyarakat luar bandar di seluruh negara.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk projek infrastruktur manakala RM500 juta lagi untuk projek perumahan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin(PPRT).

"InsyaAllah dalam masa terdekat dalam dua tiga minggu ini, saya akan turun ke bawah untuk melihat bagaimana pelaksanaan projek ini yang kita telah rancangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan adik kepada setiausaha akhbar beliau Meor Hafizan Abd Ghani iaitu Yang Munirah Abdul Ghani dengan pasangannya Mohd Azlan Mohamad di Taman Temu Jaya, Padang Temu di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata sebelum ini arahan telah dikeluarkan supaya agihan peruntukan itu dikhususkan kepada kawasan luar bandar yang amat memerlukan dan kaedah pelaksanaanya adalah yang terbaik dan berkesan.

Beliau berkata terdapat sebahagian projek telah dilaksanakan manakala sebahagian lagi masih di peringkat dokumentasi.

"Saya minta diwujudkan satu bilik operasi untuk memantau supaya pelaksanaan projek ini berjalan lancar dalam tempoh yang saya telah tentukan," katanya.

Beliau berkata antara 13,000 dan 14,000 unit rumah PPRT akan dibina di seluruh negara melibatkan peruntukan RM500 juta itu, dalam usaha memastikan penduduk miskin mempunyai rumah sendiri.

Shafie juga berkata peranan agensi di bawah kementeriannya akan disusun semula bagi menyemarak kegiatan ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.

0 ulasan: