28 Januari 2009

Bukan Pandangan Majoriti - Muhammad

KUALA LUMPUR 27 Jan. (Utusan Malaysia) - Cadangan UMNO Bahagian Besut supaya calon-calon Timbalan Presiden dan Naib Presiden berkompromi pada pemilihan parti Mac ini kurang dipersetujui.

Walaupun atas alasan demi mengukuhkan parti - calon yang bertanding berpendapat masih banyak cara lain untuk melakukannya.

Calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, dalam UMNO terdapat pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh ahli-ahlinya untuk memantapkan parti.

Bagaimanapun katanya, usaha murni itu tidak sepatutnya menjurus kepada satu cadangan sahaja kerana terdapat pelbagai aspek yang perlu diberikan penelitian.

''Dalam UMNO sesiapa sahaja bebas beri pandangan, sekarang semua orang bagi petua untuk pulihkan UMNO.

"Saya berharap UMNO dapat memilih jalan terbaik kerana apabila seseorang memberi pandangan, tidak bermakna ia mewakili pandangan majoriti," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

UMNO Bahagian Besut yang bermesyuarat kelmarin membuat keputusan untuk menyarankan kepada semua calon Timbalan Presiden dan Naib Presiden supaya berkompromi dan memberi keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan kekuatan parti.

Ketuanya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi (MT) dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Muhammad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, pandangan yang dikemukakan itu adalah salah satu kaedah untuk memantapkan parti namun terdapat banyak perkara lain lagi yang perlu diberi penekanan.

Katanya, pemilihan jawatan dalam UMNO di peringkat Pusat, bahagian dan cawangan sekitar tahun 60-an dan 70-an berlangsung pada setiap tahun tanpa masalah.

"Sekitar 80-an barulah ia dijarakkan kepada dua tahun dan kemudiannya menjadi tiga tahun sekali.

"Ada masanya eloklah kita mendengar pandangan orang lain juga," katanya.

Ditanya adakah beliau melihat pemimpin UMNO terlalu banyak bercakap kebelakangan ini, Muhammad berkata : "Tak tahulah, hari ini cakap macam ini, esok macam itu pula,".

21 Januari 2009

Perlu Kembalikan Faktor 'Penarik' Dalam Umno - Muhyiddin

Daripada Muin Abdul Majid

MANAMA (Bahrain), 19 Jan (Bernama) -- Memberikan analisis secara terus terang mengenai kelemahan Umno berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu telah kehilangan faktor "penarik" untuk menarik rakyat kepada parti tunjang komponen BN itu.

Naib Presiden Umno itu berkata faktor itu perlu dibawa kembali kerana dengan memiliki faktor penarik itu bermakna rakyat akan tertarik dan memberikan perhatian terhadap perkara baru dan menarik yang disampaikan oleh parti itu.

"Sekarang ini dalam Umno, apakah faktor penarik itu. Tidak ada faktor penarik, kita telah kehilangan faktor penarik yang akan membuatkan rakyat benar-benar mahu mendengar apa yang dikatakan oleh pemimpin," kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia di sini ketika diminta mengulas pilihan raya kecil itu pada Sabtu lepas yang menyaksikan Mohd Abdul Wahid Endut dari PAS menewaskan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoriti 2,631 undi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan akan perlunya bagi Umno dan BN untuk merekayasa bagi memenuhi aspirasi rakyat tanpa mengorbankan prinsip dan perjuangan Umno.

"Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bakal penggantinya Datuk Seri Najib Tun Razak perlu melakukan perubahan radikal, pembedahan politik, jika terpaksa," katanya.

Menurut Muhyiddin, sebaiknya ialah menjalankan post-mortem untuk mengenal pasti kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan di Kuala Terengganu dan lebih penting lagi mengkaji dengan mendalam pemikiran pengundi.

"Tidak dapat tidak pasti ada kelemahan dalam mana-mana pilihan raya kecil walaupun jentera parti bekerja keras siang dan malam. Tetapi mungkin ada isyarat yang perlu diberi perhatian dengan serius.

"Apakah ini bermakna rakyat masih sukar untuk menerima BN selepas kita kalah pada pilihan raya umum lepas, kerana mereka tidak rasa sudah ada satu perubahan atau pembaharuan yang kita kata kita hendak lakukan," kata beliau.

Muhyiddin berkata oleh sebab itu, BN dan Umno khususnya tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama untuk melaksanakan segala bentuk pembaharuan yang dijanjikan.

Apa yang penting ialah Umno dan BN menangani isu persepsi tertentu yang bermain di benak pemikiran pengundi, tegas beliau.

"Bila sebut Umno atau BN, ini persepsi dia dan ditokok tambah pula dengan putar belit parti pembangkang. Di samping itu, kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa rakyat kita juga sudah lebih faham dan peka serta mampu menilai daripada semua sudut.

"Mungkin kita dilihat belum bersedia untuk memenuhi apa yang mereka fikir baik," kata beliau sambil menyarankan supaya Umno dan BN bersedia bertindak secara lebih radikal dalam melaksanakan perubahan yang difikirkan perlu.

Muhyiddin menegaskan bahawa kenyataan-kenyataan tertentu perlu dibuat supaya rakyat faham apa yang dimaksudkan dengan pembaharuan yang ingin dibawa oleh Umno dan BN.

"Jika tidak mereka akan anggap kenyataan-kenyataan kita sebagai retorik. Jadi saya lebih cenderung mengalisis keputusan pilihan raya kecil itu daripada perspektif lebih holistik walaupun kita boleh kenal pasti sebab kekalahan daripada segi biasa seperti jentera pilihan raya tidak berapa berkesan walaupun kerja keras, soal calon, perkara yang ditimbulkan parti lawan dan sebagainya," katanya.

Di masa lalu, katanya BN akan menghadapi pilihan raya kecil dengan penuh bersemangat dan yakin, mencatatkan kemenangan di kawasan yang dianggap bermasalah.

Muhyiddin berkata, beliau ada menerima pandangan daripada pelbagai pihak yang melahirkan kebimbangan kekalahan BN dalam pilihan raya kecil menjadi satu trend baru kerana rakyat masih tidak melihat apa-apa pembaharuan di pihak BN dan Umno sendiri.

"Biar kita bermuhasabah secara serius. Mungkin orang marah kalau saya kata macam ini. Dan tentu akan ada pemimpin yang kata ia tidak menjadi trend, tapi kita tak tahu," kata beliau.

Menurut beliau, parti kerajaan perlu faham semasak-masaknya apa yang rakyat mahu kerana penentu kalah menang pada mana-mana pilihan raya ialah rakyat.

"Kita perlu jujur kepada diri sendiri. Jangan kita bersikap `tak ada apalah, kita okaylah'. Ini yang jadi masalah kepada kita," kata Muhyiddin.

Jelas beliau lagi: "Perkataannya ialah `segera berubah'. Dalam tempoh tiga, empat tahun ini akan ada lagi pilihan raya kecil, pilihan raya negeri. Jadi bagaimana keadaan kita".

Selain Umno, parti komponen BN yang lain juga perlu melakukan muhasabah diri kerana mereka juga mempunyai masalah mereka sendiri, katanya.

BN Tak Boleh Terus Dalam Zon Selesa

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Para pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak boleh berterusan duduk dalam zon selesa, sebaliknya perlu mengubah paradigma dan mengubah cara serta pendekatan berpolitik supaya ia sentiasa berorientasikan rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Timbalan Perdana Menteri mahukan semua pemimpin kerajaan BN bangkit dan bingkas kembali menyusun strategi melakukan perubahan baik kepada diri mahukan kepada parti demi kesejahteraan bangsa dan tanah air.

Kerajaan BN perlu memastikan program-program kerajaan adalah berteraskan keperluan rakyat supaya ia sentiasa dekat di hati dan sanubari rakyat.

"Jika kita gagal menangani cabaran ini dengan cemerlang, kita akan menerima hukumannya di dalam pilihan raya umum ke-13 kelak," katanya ketika melancarkan buku "Politik Baru" karya Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Saifuddin Abdullah, di sini.

Beliau berkata kerajaan BN tidak boleh sekali-kali membiarkan gejala tiada berkesinambungan wujud di antara aspirasi rakyat dan hala tuju kerajaan.

Najib berkata kerajaan BN sentiasa peka kepada gelombang perubahan dan pembaharuan.

"Ini kerana kita insaf di dalam sistem demokrasi, rakyat adalah penentu mutlak kepada parti mana yang akan membentuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata demi melaksanakan agenda perubahan dan pembaharuan, mahu tidak mahu, tidak dapat tidak, kerajaan BN memerlukan pemimpin berkebolehan dan berpengetahuan dalam bidang yang dipertanggungjawabkan.

Pemimpin itu, katanya mestilah membawa pemikiran glokal dengan ideanya merentasi sempadan negara tetapi jiwanya dan akarnya adalah berteraskan bumi bertuah ini.

"Rakyat Malaysia sudah cukup matang dalam menilai pemimpin mereka. Mereka tidak mahu lagi didendangkan dengan lagu-lagu sumbang tentang retorik perubahan tetapi hampa isi di dalamnya. Mereka mahukan "result". Mereka mahu melihat perubahan itu berlaku!" katanya.

Najib berkata gelombang perubahan hari ini menuntut negara memiliki bukan sekadar politikus biasa yang manis senyumnya dan muluk tuturnya, sebaliknya pemikir politik yang kaya ideanya dan hikmah tingkahnya.

Perubahan dan pembaharuan sudah menjadi satu tema dominan dalam arus politik dunia, katanya.

Malah, ucapan Barack Obama semasa kempen Presiden Amerika Syarikat sentiasa membujuk kepada harapan dan sifat idealis manusia, bukannya ketakutan dan sifat kebencian mereka, katanya.

"Sesungguhnya formula ini telah berjaya mencetuskan gelombang perubahan dan pembaharuan yang amat signifikan dalam susur galur sejarah politik Amerika Syarikat," katanya.

Akses kepada lebuh raya maklumat dan televisyen satelit berbayar telah mendedahkan rakyat Malaysia kepada fenomena ledakan maklumat dan ia memberi dimensi baru kepada evolusi penghakupayaan rakyat Malaysia sebagai pengundi.

Najib mengucapkan tahniah kepada Saifuddin kerana beliau dapat menghasilkan buku walaupun dalam kesibukannya sebagai anggota pentadbiran.

Buku setebal 178 muka surat dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris itu menyentuh mengenai integriti politik dan kerangka pemerintahan baru.

Ia mengajak masyarakat serta penggiat politik untuk mengambil iktibar daripada segala peristiwa dan pengalaman yang diperoleh daripada pilihan raya umum ke-12.

Saifuddin berkata idea menulis buku itu tercetus daripada kesedaran mendalam untuk meneruskan penghayatan budaya ilmu dan berharap ia dapat memperkayakan pemikiran politik.

Ubah Budaya Dan Imej Umno, Kata Najib

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Imej negatif Umno dan sikap sesetengah pemimpinnya yang kurang mesra di mata rakyat merupakan antara punca kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu minggu lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Umno perlu mengubah budaya dan imejnya agar disenangi oleh rakyat.

"Pemimpin Umno di semua peringkat Umno mesti menunjukkan imej positif dan mesra rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian bagi Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Semalam Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno memerlukan faktor "wow" untuk memikat semula hati rakyat berikutan kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil itu.

Najib berkata rakyat menilai Umno berdasarkan hubungan mereka dengan pemimpin Umno di semua peringkat.

11 Januari 2009

Projek Bukan Bertujuan Raih Undi, Kata Najib

KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan pembangkang kononnya peruntukan yang disalur bagi melaksanakan pelbagai projek di sini bertujuan untuk memancing undi bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata pelaksanaan projek-projek itu sebenarnya sudah termasuk dalam pelan pakej rangsangan fiskal yang diumumkannya, sebelum Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail yang juga anggota parlimen Kuala Terengganu, meninggal dunia pada 28 Nov lepas.

"Tidak, ia tidak rasuah. Sebab apa yang dibuat sehari dua ini (di sini), adalah sebahagian daripada projek pakej rangsangan fiskal yang saya umumkan di Dewan Rakyat pada 4 Nov lepas.

"Jadi bagaimana ini boleh dikatakan ada kaitan dengan pilihan raya kecil di sini," katanya ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pemimpin pembangkang dalam ceramah mereka di sini, bahawa projek-projek yang dilaksanakan kerajaan di sini, sebagai rasuah politik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan mesra bersama imam, bilal dan anggota jawatankuasa masjid dan surau daerah Kuala Terengganu serta penyerahan cek bantuan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di sini, Sabtu.

Turut hadir, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Mengulas lanjut, Najib berkata projek yang dilaksanakan di bawah pakej rangsangan fiskal itu, sebenarnya meliputi bantuan bukan sahaja kepada daerah Kuala Terengganu atau Terengganu malah untuk seluruh negara.

"Jadi, itu bukanlah pembelian undi tetapi cuma pelaksanaan yang sudah ditentukan untuk dilaksanakan Januari ini... sebelum Allahyarham Datuk Razali meninggal dunia lagi.

"Jadi saya nak nyatakan kedua-dua program ini, iaitu pagi tadi saya lancar pengundian Projek Kecil Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) daerah Kuala Terengganu Tahun 2009 serta bantuan kepada sekolah agama bantuan kerajaan merupakan sebahagian daripada projek rancangan fiskal," katanya.

SPR Edar 1,302 Kertas Undi Pos Hari Ini

KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengedarkan 1,302 kertas undi pos bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan ini.

Pengarah Pilihan Raya negeri, Mohd Noor Daud berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,001 kertas undi dikeluarkan kepada polis, 27 anggota tentera, tujuh pelajar yang menuntut di luar negara dan 267 kepada petugas pilihan raya.

Beliau berkata anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri manakala anggota tentera pula mengundi di 23 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di Jalan Pusara di sini, pada 12 Jan.

"Polis dan tentera telah mengambil kertas undi pos tersebut di pejabat Pengurus pilihan raya hari ini dan proses pengundian pada Isnin ini.

"Sebahagian kertas undi pos telah diserahkan kepada Pejabat Pos untuk dihantar kepada petugas-petugas pilihan raya dan pelajar di luar negara mengikut alamat yang diberikan," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Beliau berkata kesemua kertas undi pos berkenaan perlu dikembalikan semula kepada SPR sebelum pukul 5 petang 17 Jan ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas.

Pilihan raya itu melibatkan pertandingan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

10 Januari 2009

RM45 Juta Lahirkan Usahawan Desa Tahun Ini

KUALA TERENGGANU 9 Jan. (Utusan Malaysia) - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM45 juta bagi melahirkan lebih ramai usahawan desa sepanjang tahun ini.

Menterinya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, peruntukan di bawah Program Ekonomi Desa itu akan digunakan sepenuhnya bagi merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan 40,000 usahawan desa menjelang 2015.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 20,000 usahawan berjaya dilahirkan melalui program tersebut dalam tempoh dua tahun lepas melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta.

''Usahawan yang mahu dilahirkan meliputi pelbagai cabang perniagaan dan tumpuan program adalah memberi mereka latihan, bimbingan serta bantuan yang diperlukan," ujarnya selepas merasmikan Desanika Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di sini hari ini.

Muhammad berkata, kementerian mengadakan pelbagai program menerusi agensinya termasuk Ketengah dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bagi melahirkan usahawan desa yang berjaya.

Selain bantuan, katanya, kementerian juga memperhebatkan program bimbingan dan latihan pemasaran kepada golongan terbabit.

Menurutnya, walaupun banyak program dirangka namun kementerian lebih menumpukan usaha pemupukan sikap dan penyediaan infrastruktur kerana ia penting bagi memajukan usahawan.

03 Januari 2009

Peruntukan RM200,000 Bina Jalan Di Wakaf Mempelam

KUALA TERENGGANU, 3 Jan (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hari ini meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 bagi pembinaan jalan baru di Kampung Sheikh Nasir, Losong dan Padang Sena dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Wakaf Mempelam.

Menterinya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata peruntukan itu diluluskan berikutan kedua-dua jalan di kawasan berkenaan didapati rosak dan tidak dinaik taraf sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata proses menaik taraf kedua-dua jalan itu akan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu secepat mungkin dan bakal memberikan kemudahan kepada kira-kira 2,000 penduduk dalam kawasan DUN itu.

"Kita bersetuju membina dua jalan baru di Wakaf Mempelam dengan setiap satunya melibatkan peruntukan RM100,000. Ia penting untuk kegunaan pelajar ke sekolah selain memudahkan penduduk berulang-alik," katanya kepada pemberita selepas majlis bersama masyarakat di Kampung Gong Pak Maseh di sini, hari ini.

Muhammad berkata langkah itu adalah antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan yang baik di kawasan berkenaan.

"Selain di Wakaf Mempelam, banyak lagi tempat kita telah bina rumah, jambatan dan sebagainya," kata beliau.