23 Mac 2009

Mohd Ali Tunjuk Sikap Yang Baik, Kata Abdullah

BANDARAYA KUWAIT, 22 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyifatkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai seorang yang sayang dan setia kepada Umno.

Beliau berkata ini berdasarkan kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Melaka itu berikutan tindakan Panel Rayuan Umno mengekalkan keputusan bahawa beliau tidak boleh bertanding kerusi Timbalan Presiden pada pemilihan Umno minggu depan.

Presiden Umno itu berkata Mohd Ali telah menyatakan bahawa beliau akan terus berkhidmat untuk Umno di samping menjaga nama baik parti.

"Ini pada saya adalah sikap yang baik," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi beliau ke Kuwait sebagai mengulas keputusan Panel Rayuan itu.

Abdullah berkata Mohd Ali nampaknya tidak merajuk, bahkan bersedia meneruskan perjuangan untuk kejayaan parti di masa depan.

Lembaga Disiplin Umno sebelum itu mendapati Mohd Ali bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno dan dilarang daripada bertanding atau terpilih sebagai Timbalan Presiden Umno. Beliau mengemukakan rayuan bertarikh 18 Mac.

Ditanya tentang penyokong Mohd Ali yang mempertikaikan keputusan itu, Abdullah berkata: "Semuanya bergantung kepada Datuk Ali. Datuk Ali tentu memahami, penyokong-penyokongnya tentulah rasa sedih kerana dia tak dapat bertanding.

"Penyokong dia sentiasa mahu dia menjadi seorang pemimpin parti yang berjaya. Tapi apa boleh buat, semua ini dah berlaku begitu," katanya.

Abdullah berharap Mohd Ali akan meneruskan tanggungjawab beliau kepada negeri dan Umno pada waktu ini selain peranan lain yang boleh beliau lakukan demi kejayaan parti.

Peruntukan Perlembagaan Umno Mungkin Dikaji

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan bahawa peruntukan perlembagaan parti mungkin dipinda sebagai antara strategi penting bagi proses pembaharuan dan pemulihan Umno.

Beliau berkata perubahan mesti berlaku dalam Umno supaya persepsi negatif rakyat dapat dikikis.

"Sebab itu cara pemilihan pemimpin Umno mesti dikaji semula. Kita harus lakukan sesuatu secara bersungguh-sungguh, dan berani buat perubahan. Saya yakin sekiranya kita berani buat perubahan, sokongan kepada Umno dan BN akan kembali dan kita boleh pulih semula kedudukan kita seperti sediakala.

"Jadi soal dalaman Umno ini kita perlu lakukan perubahan dan selepas itu dasar-dasar kerajaan serta pendekataan kita dalam hala tuju terhadap penekanan yang kita berikan. Apakah yang diutamakan oleh rakyat sebenarnya. Ini (jawapan) yang mesti kita cari," katanya pada program wawancara Dialog@1 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad malam.

Beliau menjangkakan pindaan perlembagaan parti tersebut dapat dilaksanakan sebelum pemilihan Umno pada tahun-tahun akan datang.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata struktur organisasi dan dasar Umno juga perlu dirombak bagi memposisikan hala tuju parti dengan keperluan rakyat negara.

Mengenai Perhimpuann Agung Umno selama lima hari bermula Selasa ini, katanya beliau mahu para perwakilan ke pemilihan parti minggu depan supaya hanya memilih pemimpin yang berwibawa dan berkhidmat kepada rakyat berdasarkan prinsip integriti, kredibiliti dan loyalti.

"Saya harap mereka akan memilih perwakilan berdasarkan apa yang baik dan penting untuk parti, bukannya kepentingan diri.

"Kalau kita pilih ciri-ciri tersebut, saya pasti itulah titik permulaan proses pembaharuan untuk Umno," katanya.

Dalam pada Umno memperbaharui dirinya, beliau berkata Umno yang juga 'lynchpin' kepada Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk memberi ruang kepada komponen parti BN yang lain untuk mengetengahkan pandangan dan keperluan mereka atas dasar konsep perkongsian kuasa.

"Dalam proses pemulihan, Umno mesti beri ruang kepada rakan Umno yang lain untuk berfikir apa yang terbaik untuk kumpulan dan kaum mereka. Umno juga perlu bersedia untuk memberi pertimbangan kepada perkara-perkara yang mereka rasakan penting untuk pembelaan masyarakat ini.

"Kalau mereka tak dapat deliver, jikalau mereka tidak dapat membuat sesuatu, mereka akan hilang kredibiliti di kalangan kumpulan etnik yang mereka wakili," katanya.

Najib yang dijangka mengambil alih pucuk kepimpinan negara dalam suasana politik negara dan kesan ekonomi global yang tidak memuaskan tidak lama lagi, juga melihat dirinya tidak ada masa untuk tempoh "berbulan madu".

Katanya beliau sedar kepimpinannya akan diperhati dan diuji khususnya pada hari-hari awal pentadbirannya.

"Saya percaya rakyat akan beri peluang kepada saya untuk tunjukkan apa yang boleh saya lakukan," katanya.

Beliau turut menggariskan dua perkara yang akan menjadi ujian rakyat kepadanya iaitu, keputusan sususan jemaah menteri yang dipilihnya serta ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri.

19 Mac 2009

Muhd Taib nafi dipujuk tarik diri

Mar 19, 09 3:10pm - Malaysiakini.com

Tan Sri Muhammad Muhd Taib menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang tersebar mengatakan ada usaha-usaha untuk memujuk beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden Umno minggu depan.

"Tidak benar sama sekali...," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Muhd Taib yang juga ketua penerangan Umno diminta mengulas laporan yang mendakwa wujud usaha-usaha tersebut atas alasan demi menjaga perpaduan parti.

Umno kini dalam keadaan tidak menentu ekoran keputusan Lembaga Disiplin Umno melarang Datuk Mohd Ali Rustam, bertanding jawatan presiden, selepas lembaga itu mendapat ejennya bersalah terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

Ekoran itu, para penyokong beliau sudah beralih sokongan kepada Muhd Taib ekoran wujudnya dakwaaan ada konspirasi politik untuk menjatuhkan penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah, konspirasi tersebut didakwa ditujukan kepada semua penyokong kuat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, termasuk Mohd Ali.

Ini kerana Najib dilihat lebih berpihak kepada seorang lagi calon, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini bersuara lantang mendesak peralihan kuasa kepada Najib dipercepatkan.

Oleh itu, Najib dilihat 'terhutang budi' kepada Muhyiddin selepas Abdullah bersetuju tidak mempertahankan jawatan presiden kali dan dijadual menyerahkan kuasa kepada Najib selepas pemilihan Umno minggu depan.

Muhd Taib dijangka memperolehi sokongan pemimpin penyokong Mohd Ali kerana beliau juga dianggap sebagai penyokong kuat Abdullah.

Malah, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin - menantu Abdullah - juga didapati bersalah atas kesalahan yang sama.

Bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana hanya diberi amaran dan dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda minggu depan.

Kini persaingan bagi pemilihan pucuk pimpinan Umno minggu didepan dilihat sebagai satu pertembungan antara puak Najib dan puak Pak Lah.

Juga tersebar khabar angin yang mengatakan akan berlaku beberapa siri bantahan hujung minggu ini sebagai membantah keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Umno terhadap Mohd Ali.

Hormati Keputusan Lembaga Disiplin Demi Pulihkan Umno

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Ramai pemimpin Umno berpendapat keputusan Lembaga Disiplin parti itu semalam terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam perlu dihormati dan diterima dengan hati terbuka.

Rata-rata berpendapat keputusan Lembaga Disiplin parti itu perlu dihormati demi memulihkan Umno.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin berkata kepentingan parti perlu diutamakan walaupun beliau bersimpati terhadap Mohd Ali yang dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan.

Khaled yang juga salah seorang calon Naib Presiden Umno berkata keputusan Lembaga Disiplin itu hendaklah dilihat sebagai usaha ke arah membasmi gejala politik wang dalam parti itu.

Calon Timbalan Pengerusi Tetap Umno Datuk Mohamad Aziz berkata penubuhan lembaga itu adalah untuk menjaga disiplin di dalam parti dan oleh itu setiap anggota parti perlu mengambil iktibar daripada tindakan terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad yang digantung enam tahun berikutan terlibat dengan politik wang.

"Contoh terbaik pemimpin Umno yang patuh kepada keputusan ialah Tan Sri Isa Abdul Samad. Dia terima keputusan dengan tenang dan menjalankan kerja dia dan dalam pilihan raya dia membantu kempen untuk Umno.

"Dengan berkat kesabaran, dia dapat pencalonan untuk naib presiden. Sepatutnya ahli umno bertenang dan terima keputusan dengan lapang dada," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir pula berkata beliau turut bersimpati dengan Mohd Ali tetapi yakin Ketua Menteri Melaka itu akan terus berjuang untuk Umno.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula berpendapat semua pihak yang didapati bersalah tidak sepatutnya dibenarkan bertanding.

Katanya beliau khuatir timbul kekeliruan berhubung hukuman yang berbeza sehingga boleh menjejaskan kewibawaan Lembaga Disiplin.

"Kita khuatir orang akan pertikai kredibiliti, kewibawaan Lembaga Disiplin, mereka yang peringkat bawah digantung keahlian, tetapi yang terlibat secara tidak langsung, jadi dalang merancang penggunaan duit dalam politik ini terlepas begitu saja dengan amaran.

"Kalau betul bersalah, patut semua orang tidak boleh bertanding. Kalau ada orang terlibat dengan politik wang patut dikenakan hukuman setimpal, tidak hanya amaran saja, patut digantung terus," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Mohd Ali berhak untuk merayu dan dibebaskan sekiranya tidak bersalah.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim berkata tindakan itu sepatutnya dibuat lebih awal terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

"Kita mungkin tidak tahu prosedur penyiasatan tetapi dengan keputusan awal, ia boleh menyelamatkan banyak masa calon terutama semasa tempoh berkempen," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Naib Presiden Gerakan Huan Cheng Guan ketika ditanya berhubung isu itu berkata walaupun ia merupakan masalah dalaman Umno tetapi adalah lebih baik jika keputusan itu dibuat lebih awal berbanding seminggu sebelum pemilihan parti.

Sementara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berpendapat Umno perlu serius menangani isu politik wang kerana ia bukan sahaja mewakili orang Melayu tetapi mengetuai gabungan pelbagai parti dalam kerajaan pusat.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pihak harus menghormati keputusan Lembaga Disiplin Umno.

"Saya merasakan ramai orang yang memandu terlalu laju di lebuhraya politik tetapi yang tidak memakai tali pinggang keledar dan melebihi had laju itu selalu terlepas dan jika ada perangkap had laju orang inilah yang kena.

"Jangan anggap ia menganiaya seseorang atau calon tertentu, saya fikir ia (keputusan itu) harus mendapat penghormatan daripada semua calon dan kepimpinan semua peringkat," katanya.

Beliau juga menolak kemungkinan hukuman itu akan mengakibatkan berlaku perpecahan di dalam Umno.

"Saya tidak nampak adanya berlaku perpecahan kalau kita menilai satu-satu hukuman itu dari sudut yang positif. Memanglah bila sesuatu hukuman itu dibuat kepada seseorang itu, kumpulan dan pengikutnya merasakan itu tidak adil.

"Saya rasa tentu ada hikmah yang kita tidak ketahui sekarang dan akan kita ketahui kemudian apabila sesuatu itu berlaku kepada kita," kata calon Naib Presiden Umno itu.

Kesan Mohd Ali digugur, Muhammad Taib berpeluang 'tawan' Timbalan Presiden Umno

PETALING JAYA, 19 Mac (mStar Online): Calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dilihat mempunyai peluang untuk memenangi jawatan itu pada pemilihan parti minggu depan kata Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman.

Beliau berkata, Muhammad Taib mungkin akan mendapat 'undi terpijak' daripada penyokong Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Disiplin melucutkan kelayakannya untuk bertanding.

"Peluang Muhammad Taib secara tidak langsung sangat cerah untuk menang dalam pemilihan nanti," katanya kepada mStar Online.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Mohd Ali dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti setelah beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno, yang melibatkan politik wang.

Tambah Ahmad, penyokong Mohd Ali berkemungkinan menyalurkan perasaan marah mereka dengan cara memberikan kemenangan kepada Muhd Taib.

"Cara mereka tunjukkan perasaan marah saya yakin tidaklah sampai hendak keluar parti, sebalinya mereka pasti akan berikan kemenangan kepada calon bukan pilihan," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, ini tidak bermakna tindakan sedemikian menggambarkan mereka tidak suka atau wujudnya unsur tidak sihat dengan seorang lagi calon bagi jawatan itu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya fikir mereka tidak akan pilih Muhyiddin bukan sebab mereka tidak suka beliau, tapi kerana sebelum ini Mohd Ali dan Muhyiddin dilihat calon pilihan bagi jawatan berkenaan.

"Jadi logiknya, untuk puaskan hati, pasti mereka akan undi calon 'underdog' bagi elakkan calon yang satu lagi menang," katanya.

Mengulas lanjut mengenai keputusan Lembaga Disiplin Umno semalam, Ahmad berkata lembaga itu nyata dilihat tidak konsisten dalam membuat keputusan berhubung kesalahan politik wang yang melibatkan beberapa pemimpin.

"Nampaknya ada banyak versi hukuman bagi sesuatu kesalahan, ada yang dihalang bertanding dan ada juga yang hanya diberi amaran.

"Kalau dulu (Tan Sri) Isa Samad digantung keahlian, lucut jawatan, tapi kali ini pemimpin yang bersalah hanya hilang kelayakan bertanding," katanya.

Kata beliau lagi tindakan sedemikian menunjukkan keputusan berat sebelah yang memihak kepada individu-individu tertentu.

Ditanya sama ada penubuhan Lembaga Disiplin Umno yang bertujuan memantau perlakuan ahli-ahlinya termasuk gejala rasuah politik masih relevan, beliau berkata ia perkara tersebut perlu dilihat dari pelbagai aspek.

"Usaha untuk memastikan disiplin ahli terkawal ia memang baik untuk parti, tapi bagi saya jika ia melibatkan politik wang atau rasuah, mereka harus membuka pintu kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat," katanya.

Jelasnya tindakan Umno yang tidak membenarkan masalah dalaman parti dibawa keluar untuk disiasat dilihat seperti mengenepikan undang-undang.

"Budaya selesai dari dalam jelas seperti tidak mendokong undang-undang.

"Rasuah tetap rasuah, bila ada kes rasuah maknanya automatiklah SPRM yang perlu siasat... tapi masalahnya Umno tak benarkan," katanya.

18 Mac 2009

Umno Tetap Tegas Tangani Politik Wang, Kata Perdana Menteri

Oleh Mohd Nasir Yusof

JAKARTA, 17 Mac (Bernama) -- Dalam reaksi segera kepada beberapa keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Umno hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Umno tetap tegas menangani politik wang.

"Lembaga Disiplin Umno telah membuat keputusannya. Umno tetap tegas menangani politik wang," katanya kepada pemberita di sini ketika diminta mengulas keputusan lembaga itu yang termasuk melarang Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding jawatan timbalan presiden parti berhubung amalan politik wang.

Pada sidang media dengan wartawan Malaysia di akhir lawatan kerja dua harinya ke sini untuk perundingan tahunan dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Abdullah juga berkata beliau telah memaklumkan mengenai langkah-langkah yang akan diambil Malaysia jika tekanan krisis ekonomi berterusan.

"Saya jelaskan bahawa pemberhentian pekerja merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan akan berlaku. Soalnya sejauh mana dan berapa besar bilangannya," katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Malaysia akan berusaha sebaik mungkin mengelak pemberhentian beramai-ramai tetapi jika hal itu terpaksa dilakukan maka pekerja asing termasuk dari Indonesia akan diberhentikan dahulu.

Bagaimanapun, Abdullah berkata Malaysia akan memaklumkan terlebih dahulu kepada Indonesia supaya negara yang mempunyai paling banyak tenaga kerjanya bekerja di Malaysia, boleh membuat persediaan menghadapi keadaan itu.

"Satu lagi, kita (Malaysia) akan memberikan kerjasama untuk membolehkan rakyat Indonesia yang berada di Malaysia boleh mengundi semasa pilihan raya diadakan di Indonesia," katanya.

Beliau berkata rakyat Indonesia akan dibolehkan mengundi di tempat-tempat yang sudah dikenalpasti dan proses itu akan dikelolakan sendiri oleh Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia.

Malaysia dan Indonesia juga, pada perundingan tahunan yang masuk tahun keenam itu, bersetuju untuk menggembleng peranan lebih besar sektor swasta dalam mencergaskan semula ekonomi kedua-dua negara dan Indonesia menyatakan kesediaannya menerima pelabur-pelabur Malaysia dalam projek-projek barunya.

Beliau berkata jika kerjasama pelaburan itu dalam bidang berkaitan dengan tenaga yang merupakan satu bidang keutamaan kedua-dua negara, yang berkaitan gas dan minyak, maka Petronas akan diminta mempertimbangnya, selain kerjasama dalam bidang sumber tenaga alternatif.

Perdana Menteri berkata golongan muda juga mendapat perhatian khusus beliau dan Susilo pada perundingan kali ini, di mana generasi muda kedua-dua negara akan dipertemukan dalam pelbagai program untuk mereka termasuk yang disarankan oleh Kumpulan Orang Kenamaan (EPG) kedua-dua negara.

Mengenai hasil keseluruhan perundingan itu, Abdullah berkata hasilnya sangat baik dengan banyak persetujuan yang dicapai, apatah lagi dengan penerimaan bersama Malaysia-Indonesia terhadap laporan dan cadangan EPG, yang membuka lembaran baru ke arah memantapkan lagi hubungan dua hala.

Dengan asas yang diletakkan oleh EPG ini hubungan dua hala Malaysia-Indonesia tidak akan terjerat isu-isu sensitif dan tanpa hal serupa itu yang turut mengurangkan keyakinan kedua-dua pihak, hubungan bilateral akan lebih baik dan lebih banyak program dapat dibuat bagi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Abdullah yang disertai isteri Datin Seri Jeanne Abdullah berlepas pulang ke tanah air malam ini.

17 Mac 2009

Ali Rustam Dilarang Bertanding Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu hadapan setelah didapati bersalah melibatkan politik wang.

Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, demikian diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lembaga Disiplin itu juga mendapati Khairy Jamaluddin, calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Lembaga itu bagaimanapun mendapati Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, juga calon Ketua Pemuda Umno, tidak bersalah melanggar tataetika ahli parti.

16 Mac 2009

Shafie Apdal Saran Cari Punca Fitnah Melalui Blog

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Penelitian perlu dibuat bagi mencari punca mengapa orang memfitnah melalui laman blog, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata tindakan menabur fitnah dan membuat tohmahan semakin menjadi-jadi terutama melalui blog.

"Perkara ini tidak harus diperkecilkan. Ia perlu diambil tindakan tegas. Tetapi dengan hanya bertindak tegas tanpa ada pendekatan untuk membendung masalah ini, saya bimbang ia akan memberi kesan kepada budaya, agama dan ekonomi kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kebudayaan Melayu Kedua, di sini Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai pendakwaan baru-baru ini ke atas enam individu kerana menghina Sultan Perak.

Shafie berkata tindakan lebih tegas perlu diambil kepada pihak yang cuba mencetus keadaan tidak tenteram di dalam negara.

Di dalam ucapannya, beliau berkata kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara tidak boleh dipertikaikan, namun bahasa Inggeris merupakan bahasa dunia yang perlu dikuasai.

Kongres Kebudayaan Melayu Kedua diadakan setelah 52 tahun kongres pertama dilancarkan oleh perdana menteri kedua Tun Abdul Razak pada 30 Dis 1957 di Melaka.

Perbezaan Pendapat Punca Perpecahan Dunia Islam - Abdullah

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Isu rumit dalam dunia Islam ialah dalam bentuk perbezaan pendapat dan percanggahan mengenai cara penyelesaian yang sebaiknya, telah menghalang umat Islam daripada bersatu dalam menghadapi pelbagai masalah yang dihadapinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ketidakupayaan itu telah menyebabkan umat Islam tidak dapat memberikan tindak balas sepatutnya terhadap cabaran ekonomi, sosial dan politik dalam dunia moden dan globalisasi.

"Contoh paling jelas ialah isu Iraq, Afganistan dan Palestin di mana penderitaan yang ditanggung rakyat negara itu telah menonjolkan, hakikat lama dan baru akan kelemahan kita ini.

"Tragedi Gaza baru-baru sekali lagi membuktikan ketidakupayaan kita sebagai ummah untuk menentukan penyelesaian terhadap masalah yang telah berlarutan sejak 60 tahun lepas," katanya.

Abdullah berkata demikian dalam ucapan balasnya selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pemikiran dan Tamadun Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini Isnin.

Penganugerahan ijazah itu disampaikan oleh Pahang Sultan, Sultan Ahmad Shah yang juga ketua perlembagaan UIAM di kampus universiti itu di Gombak.

Abdullah berkata apa yang menyedihkan ialah krisis itu tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda dalam waktu terdekat, dengan beratus-ratus mereka yang tidak berdosa dibunuh oleh senjata canggih manakala negara-negara Islam hanya mampu melihatnya sahaja tanpa berupaya berbuat apa-apa.

"Pada tahap ini, adalah amat penting bahawa kita, sebagai orang Islam, perlu bertanyakan kepada diri kita beberapa soalan penting. Pertamanya, bagaimana caranya untuk kita mencapai aspirasi kita selaras dengan ajaran agama kita?

"Keduanya, bagaimana kita mendapatkan semula kawalan dan ketenteraman di dunia ini yang kelihatannya tidak memahami kita, pada masa yang sama terus melihat kita daripada kacamata yang kabur?," katanya.

Perdana Menteri berkata umat Islam perlu melihat kepada kebenaran dan keadilan sebagai panduan kepada cara mereka di pentas global, mereka perlu bersedia berkongsi pengetahuan, bekerjasama secara terbuka dan membantu pembinaan negara-negara mengikut ajaran Al-Quran.

Negara-negara Islam, katanya sebenarnya mempunyai kewajipan untuk menunjukkan kecekapan dan kesediaan untuk turut serta dalam proses globalisasi dan pemodenan dan untuk mencapainya, umat Islam perlu melakukan pembaharuan dan perubahan daripada segi berfikir serta proses tadbir urus mereka.

"Bagi tujuan ini, kita perlu mengutamakan pembangunan modal insan, terutamanya melalui penyediaan peluang pendidikan tinggi dan pembangunan institut penyelidikan bagi ummah," katanya.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan kejayaan, sumbangan umat Islam terhadap globalisasi dan pemodenan perlu dilakukan bersama-sama dengan lainnya di seluruh dunia.

"Kita perlu perbetulkan salah tanggap dan memadamkan syak wasangka yang wujud antara dunia Barat dan Islam. Kita perlu menyemai budaya toleransi antara tamadun. Kita perlu cipta lebih banyak inisiatif antara tamadun seperti pengajaran kepelbagaian agama dan budaya di institusi pengajian tinggi.

"Kita patut menggunakan pendekatan usahasama daripada segi biasiswa dan usaha lain yang serupa. Kita perlu menyemai rasa hormat terhadap perbezaan dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang bangsa," kata Abdullah.

Bagaimanapun, katanya adalah penting untuk menyedari bahawa dalam setiap tradisi agama di dunia, akan sentiasa ada kumpulan ekstremis yang tidak mewakili majoriti yang mempunyai kepercayaan "bahawa persendaan terbesar ialah apabila perkara yang terkutuk dilakukan atas nama agama."

Beliau berkata umat Islam sepatutnya tidak membenarkan kenyataan tidak bertanggungjawab mengenai akan berlakunya pertembungan antara tamadun untuk kepentingan ramalan sendiri.

"Cabaran yang dihadapi kita sekarang ialah untuk membenarkan suara sederhana dari dunia Barat dan Islam untuk disebar luas dalam dialog bermakna yang akan memenuhi keperluan semua.

"Saya bersetuju bahawa kini bukan masanya untuk merintih terhadap ketidakadilan di masa lepas, untuk menunding jari pada sesiapa atau untuk menyalahkan mana-mana agama. Tetapi mana-mana dialog hanya akan bermakna jika ia merupakan proses dua hala yang tulen yang dikendalikan dalam suasana yang adil, saksama dan samarata," kata Abdullah.

Perdana Menteri percaya ia adalah tanggungjawab pemimpin politi, di dunia Barat dan Islam, untuk mewujudkan keadaan di mana suara kebenaran dapat menguasai suara kebencian, ketaksuban dan kejahilan.

"Ini merupakan masa untuk bersikap jujur, rasional dan ikhlas dengan diri kita sendiri demi kebaikan generasi kita sendiri dan generasi akan datang," katanya.

Ali Rustam Enggan Ulas Sama Ada Disiasat Lembaga Disiplin Umno

SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) -- Ketika desas desus mengenai adanya pemimpin kanan Umno akan digantung akibat politik wang semakin kencang, Datuk Seri Mohd Ali Rustam enggan mengulas khabar angin bahawa beliau antara pemimpin yang disiasat Lembaga Disiplin Umno.

"Itu, you (anda) kena tanya Lembaga Disiplin," katanya ketika ditanya sama ada beliau, yang akan bertanding untuk jawatan timbalan presiden pada pemilihan Umno minggu depan, disiasat Lembaga Disiplin.

Apabila ditanya sama beliau ada menerima surat dari Lembaga Disiplin, naib presiden Umno itu memberikan jawapan yang serupa: "Itu, you kena tanya Lembaga Disiplin".

Pengerusi Lembaga Displin Umno Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail akan mengadakan sidang akhbar esok dan beliau dijangka mengumumkan hasil siasatan lembaga itu.

Terdahulu, bercakap di lobi Parlimen Isnin, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib mencadangkan Lembaga Disiplin Umno supaya mengumumkan nama calon yang dikaitkan dengan politik wang sebelum bermulanya pemilihan Umno.

Mohd Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka tenang ketika menjawab soalan pemberita sewaktu menghadiri majlis perjumpaan dengan perwakilan Umno Selangor di sini malam ini.

Mohd Ali berkata beliau juga tidak bimbang dengan perkembangan itu bahkan masih bersemangat untuk hadir ke majlis perjumpaan itu sebagai calon timbalan presiden.

Ditanya tujuan pertemuan beliau dengan Ketua Bahagian Umno Melaka esok, Mohd Ali yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, berkata perjumpaan itu adalah sebagai persediaan untuk Perhimpunan Agung Umno ini.

Beliau berkata perjumpaan itu tiada kaitan dengan sebarang pengumuman beliau hendak menarik diri daripada pertandingan.

Selain Mohd Ali, calon lain untuk timbalan presiden Umno ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Muhammad.

Perwakilan Umno Diingat Tidak Terlalu Ghairah

KUANTAN, 15 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengingatkan perwakilan supaya tidak terlalu ghairah dalam memilih calon pada pemilihan parti yang dijadual pada 25 dan 26 Mac ini.

Beliau sebaliknya berkata perwakilan perlu berfikiran matang dan meletakkan perjuangan mengukuhkan parti dan negara melebihi agenda peribadi.

"Ini merupakan satu tanggungjawab besar dan bukan proses main-main, kita ingin memilih pemimpin yang akan membantu Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengukuhkan parti dan negara," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan pengenalan calon-calon Majlis Tertinggi Umno dengan perwakilan Umno Bahagian Pahang di sini, malam tadi.

Hampir keseluruhan 66 calon yang bertanding hadir pada majlis itu termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Adnan berkata perwakilan seharusnya memandang isu yang lebih besar seperti cabaran politik dan krisis ekonomi yang memerlukan pemimpin berwibawa untuk menanganinya.

14 Mac 2009

Umno Perlukan 'Restorasi Meiji' Untuk Kembali Kuat

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Ketika kekuatannya dilihat semakin terhakis, Umno perlu segera melakukan proses ala "Restorasi Meiji", yang menyaksikan kebangkitan Jepun selaku gergasi ekonomi dunia sejak 150 tahun lepas, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Seperti juga restorasi di Jepun itu, proses restorasi dalam Umno sejajar dengan perubahan landskap politik negara untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti yang menjadi tunjang kepada kerajaan sejak dahulu lagi, katanya dalam satu temu bual dengan Bernama menjelang pemilihan parti hujung bulan ini.

Muhammad, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, berkata Umno perlu kembali kepada asas pembentukannya pada 1946, di mana Umno disertai ahli badan dan persatuan yang memperjuangkan kepentingan Melayu.

"Pada 1946 Umno tiada. Apa yang ada ialah persatuan guru, persatuan penulis dan persatuan pinggan mangkuk di kampung serta persatuan anak Kelantan, Terengganu dan Pahang. Barangkali kita sudah tersisih daripada kumpulan ini," katanya.

Beliau berkata ini kerana persepsi rakyat khasnya orang Melayu kepada Umno telah berubah sejak akhir-akhir ini sekalipun parti itu terbukti banyak berjasa kepada orang Melayu.

Muhammad berkata sudah tiba masanya Umno mendekatkan badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan dewan perniagaan yang memperjuang kepentingan orang Melayu dengan Umno.

Katanya proses restorasi Umno juga perlu memberi ruang kepada falsafah dan idea generasi muda didengari kerana mereka ini memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat.

"Orang muda nak ketelusan dan sesuatu yang adil maka Umno perlu ada pendekatan baru dan sesuai," katanya.

Sejajar dengan proses restorasi itu, Muhammad berkata Umno juga perlu melakukan perubahan dalam pendekatannya untuk menarik sokongan masyarakat termasuk bukan Melayu.

Dalam konteks itu, beliau memberi contoh bagaimana PAS tidak lagi menggunakan Amanat Haji Hadi yang ekstrem sebaliknya menggunakan slogan "PAS Is For All" bagi menarik sokongan bukan Melayu.

"Kena ubah ikut kehendak semasa, atau, Umno akan terus ketinggalan," kata Muhammad.

Katanya beliau yakin proses restorasi itu boleh dilakukan sekiranya pemimpin Umno dapat menentukan hala tuju parti itu seperti kejayaan pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar, menyatukan orang Melayu pada 1946 dengan satu tujuan iaitu menentang penjajah.

"Kalau orang Melayu hendak selamat maka proses restorasi untuk satukan orang Melayu untuk kukuhkan diri (kaum itu) harus diadakan balik," katanya menambah proses restorasi itu perlu dilakukan dengan segera dengan melibatkan semua pihak secara jujur dan ikhlas.

12 Mac 2009

Tiada Unsur Fitnah Dan Adu Domba Menjelang Pemilihan Parti

MELAKA, 11 Mac (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata tiada unsur fitnah dan adu domba menjelang pemilihan parti hujung bulan ini.

Beliau berkata pertandingan pucuk pimpinan tertinggi parti berlangsung dalam suasana sihat dan berunsur kekeluargaan.

"Kita berharap Umno akan terus dihargai sebagai parti pembela rakyat dan menjadi kekuatan semua lapisan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan pertemuan calon-calon Anggota Majlis Tertinggi Umno dengan perwakilan Umno Melaka di sini, Rabu malam.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mohd Ali berkata usaha memperkukuhkan parti harus dijadikan keutamaan untuk Umno terus menjadi tunjang kepada Barisan Nasional yang sedikit terjejas pada pilihan raya umum ke-12 yang lepas.

"Mudah-mudahan menjelang 2013 keyakinan kembali semula kepada kita untuk memenangi majoriti dua pertiga di Parlimen dan merampas kesemua negeri yang sebelum ini ditawan oleh pembangkang," katanya.

Beliau juga mengingat pemimpin supaya mesra dan selalu berada dalam masyarakat yang pada hari ini dilihat semakin jauh dan renggang.

"Kita juga perlu menjaga orang muda, terdapat kira-kira dua juta pengundi muda akan mendaftar pada 2013, jika kita jaga mereka, mereka akan menjaga kita kelak," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata beliau melihat pemilihan parti kali ini adalah yang positif, tidak ada kata mengata, surat layang dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memburuk-burukkan calon.

Beliau berkata ini merupakan satu petanda yang amat baik untuk Umno dengan perwakilan menunjukkan sikap yang tidak berbelah bahagi dengan memberi sokongan hampir sama kuat untuk semua calon.

"Ini menunjukkan bahawa anggota Umno sudah sangat matang dan tidak emosi dan tidak menunjukkan sikap "boo" dan sebagainya kepada mana-mana calon. Ini satu perilaku yang sangat baik yang ditonjolkan oleh anggota Umno di mana-mana negeri yang kita pergi," katanya.

Beliau berkata sesiapa juga calon yang menang bertanggungjawab mengukuhkan parti, memberi sokongan kepada nombor satu dalam Umno dan kerajaan.

Rafidah pula berkata ini pertandingan seperti biasa sebab dalam demokrasi yang menang tetap menang yang kalah tetap kalah dan harus terima apa yang dipilih perwakilan.

Beliau berkata anggota Umno perlu pastikan Umno tetap kukuh dan jangan membiarkan berlakunya perpecahan.

Langkah Terbaik Perkenal Calon Dengan Perwakilan

SEREMBAN, 11 Mac (Bernama) -- Calon jawatan Ketua Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir berkata langkah 'terbuka' perwakilan berjumpa dengan semua calon yang akan bertanding pada pemilihan pucuk pimpinan Umno hujung bulan ini merupakan langkah terbaik untuk memperkenalkan calon.

Anggota Parlimen Jerlun itu berkata ini bukan masanya untuk sekat-menyekat kerana perwakilan tahu akan haknya untuk mengenal calon dengan lebih dekat.

"Oleh sebab itu, mereka menuntut supaya diberi peluang untuk berjumpa dengan semua calon dan inilah amalan demokrasi yang sihat...saya kira. Dengan cara inilah mereka dapat menilai calon, di mana akhirnya apabila calon dipilih nanti ianya dipilih di atas kriteria yang telah ditepati oleh calon tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan calon Pergerakan Wanita Umno, Pergerakan Pemuda Umno dan Pergerakan Puteri Umno dengan perwakilan Umno Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Anggota Parlimen Rembau, seorang lagi calon jawatan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata pemilihan Umno ini dilihat oleh sebahagian pihak sebagai satu pemilihan yang ada unsur-unsur negatif seperti politik wang, ugutan, sabotaj dan sebagainya.

"Tetapi melalui sesi pengenalan calon ini, kita sedar bahawa pemilihan ini dijalankan dalam semangat kekeluargaan Umno, di mana sebenarnya tidak ada paksaan, tiada usaha untuk membeli undi dan nak sabotaj mana-mana pihak.

"Inilah sebenarnya Umno, kita terbuka dan kita beri peluang kepada calon untuk berjumpa setiap perwakilan dan perwakilan akan pilih berdasarkan kepada penelitian dan penilaian mereka terhadap calon dan juga kelebihan calon tersebut.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa janganlah memandang serong pemilihan Umno ini. Mungkin kalau ada aduan, itu sebahagian kecil. Sebenarnya apa yang sedang berlaku adalah satu keterbukaan untuk semua calon berjumpa dengan perwakilan. Jadi kita tidak ada apa-apa nak sembunyi sebenarnya," katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata proses pemilihan dalam Umno sudah lama berlaku.

"Saya rasa calon-calon puas hati dengan cara ini dan mempunyai landasan untuk mereka memperkenalkan diri sebagai calon.

"Saya mempunyai keyakinan bahawa perwakilan yang akan pergi ke perhimpunan agung Umno nanti mempunyai cara mereka dan saya penuh percaya perwakilan Umno ini adalah pandai dan bijak untuk memilih pemimpin yang boleh memberi tanggungjawab dan menggalas tugas untuk terus memimpin parti," katanya.

Katanya Umno perlu kuat dan kukuh untuk terus memimpin dan relevan kepada perjuangan orang Melayu.

Perhimpunan Jadi Perhatian Kerana Babit Peralihan Kuasa

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Perhimpunan Agung Umno ke-63 yang bakal berlangsung hujung bulan ini menjadi perhatian ramai kerana membabitkan proses peralihan kuasa dan penyerahan tampuk kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun, perkara itu boleh dianggap selesai apabila Najib telah dipilih sebagai bakal Presiden Umno yang baru.

"Soal yang lain atau jawatan-jawatan lain termasuk (yang) saya (tandingi) akan dianggap penting juga, lebih-lebih lagi ketika kita berhadapan dengan masalah dan isu yang bagi saya cukup besar.

"Kita boleh katakan Umno berhadapan dengan masalah, Barisan Nasionalpun berdepan masalah dari segi persepsi masyarakat, dari segi tanggapan mereka yang mungkin terjejas sebab prestasi pilihan raya tahun lepas," katanya dalam rancangan bual bicara Dialog@1 mengenai isu "Menangani Krisis Ekonomi Global: Cabaran dan Harapan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti)" yang disiarkan di TV1 Rabu malam.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata selain itu, berdasarkan keadaan ekonomi sekarang, rakyat mahu melihat apa yang perlu diselesaikan bagi menangani masalah ini.

"Kita tak mahu gawat politik banyak sangat, politik bukan jadi satu perkara utama bagi kita, yang penting soal ekonomi yang hendak dijana supaya memberikan peluang hidup yang lebih baik," katanya yang bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti itu.

Muhyiddin berkata sesiapa sahaja calon yang terpilih mengisi jawatan yang dipertandingkan pada pemilihan Umno itu mestilah terdiri daripada mereka yang mampu menyelesaikan isu-isu yang sedang dihadapi sekarang.

Ditanya sama ada politik wang sudah menjadi lumrah dalam pemilihan parti serta persepsi rakyat terhadap Umno, beliau berkata memang ramai yang mempunyai anggapan sedemikian terhadap parti itu, walaupun tidak semua calon terlibat.

"Penting bagi kita menunjukkan persepsi yang baik kepada umum bahawa kita sudah bersedia untuk berubah, berhijrah daripada yang tidak baik kepada lebih baik, bersedia untuk menghadapi kelemahan-kelemahan kita dan cuba perbaiki dan mereka (rakyat) bukan setakat nak mendengar tapi (mahu) melihat perubahan, apa perubahan yang sudah dibuat," katanya.

Beliau berkata Umno mesti bersedia turun ke bawah dan mengamalkan sikap mesra rakyat selain menjalankan program-program amal serta kebajikan yang memberi faedah kepada umum dan bukan hanya untuk kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja.

"Sebab itu bila kita tengok proses pemilihan kali ini, ramai orang berminat kerana mereka ada kepentingan diri.

"Yang penting, siapa yang terpilih, mampu atau tak mampu mereka untuk menangani masalah kegawatan ekonomi, mampu tak mampu meletakkan Umno sebagai satu wadah perjuangan yang diterima umum oleh masyarakat Melayu dan sebagainya," kata beliau.

Muhyiddin juga berkata beliau melihat pengundi terutama generasi muda kini sudah berubah dan mempunyai inspirasi.

"Mereka tak sama seperti orang dulu, jadi kita kena akui, dalam proses pemilihan ini kita boleh tunjukkan inilah titik permulaan penting, penentu masa depan kita, di manakah langkah yang kita nak buat, saya fikir bermula dari keputusan yang dibuat," katanya.

Beliau berkata pemilihan Umno kali ini menjadi perhatian rakyat kerana mereka ingin menentukan siapa yang berhak untuk menjadi pemimpin dalam parti yang bakal menerajui kerajaan selain menjadi pendokong kepada Najib.

06 Mac 2009

Melayu Pertikai Kedudukan Bangsa Sendiri Dan Raja Adalah Biadab : Sultan Selangor

PETALING JAYA, 6 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa kesal terhadap golongan Melayu yang terus mempersoalkan kedudukan bangsanya sendiri dan Raja-raja Melayu walaupun perkara itu termaktub dalam perlembagaan.

Baginda menyifatkan kumpulan orang Melayu ini sebagai biadab, tidak berbudi bahasa dan tidak merasa segan atau malu sedangkan mereka telah diasuh dari zaman nenek moyang atas landasan adat istiadat, budi pekerti, bersopan santun, hormat-menghormati dan sentiasa bermuafakat.

"Di atas landasan inilah maka orang Melayu disegani dan dihormati (tetapi) di mana orang Melayu sekarang?

"Negara baru mencapai kemerdekaan setengah abad, orang Melayu telah bercakaran, hilang maruah, hilang budi pekerti disebabkan terlalu ghairah untuk merebut kuasa hingga sanggup menggadaikan bangsa dan negeri," titah baginda ketika merasmikan upacara pembinaan semula Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz dekat sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sultan Sharafuddin turut melahirkan kebimbangan terhadap orang Melayu di Selangor yang telah berpecah belah disebabkan oleh berlainan fahaman politik.

Titah baginda, walaupun bangsa Melayu tidak mungkin akan hilang dari dunia, tetapi tidak ada gunanya sekiranya orang Melayu yang tinggal itu tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan.

"Beta sudah berkali-kali menyeru kepada rakyat Melayu di negeri Selangor ini supaya menghormati antara satu sama lain, memahami akan kedudukan satu dengan yang lain dan yang paling penting, mempercayai antara satu dengan yang lain.

"Jika orang Melayu sentiasa menyimpan syak wasangka antara satu dengan yang lain maka inilah yang akan menimbulkan rasa curiga, rasa sangsi dan cemburu yang menyebabkan timbulnya fikiran dan tindakan yang negatif sesama rakyat jelata," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menyeru rakyat Selangor supaya bertenang dan merenung sedalam-dalamnya apa yang telah berlaku dan bertanya kepada diri sendiri sama ada mahu keamanan dan kesejahteraan hidup yang dirasai kini berterusan, atau bertelagah sesama sendiri sehingga memusnahkan negeri sendiri.

Baginda menyeru orang Melayu supaya bersatu apabila timbul isu-isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Menyentuh mengenai pengurusan masjid, Sultan Sharafuddin bertitah, pihak pengurusan perlu memandang serius dan lebih prihatin sekiranya terdapat unsur-unsur yang tidak sepatutnya ditimbulkan dalam suasana damai masjid.

Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz yang terletak di Jalan Templer pada mulanya adalah sebuah surau kayu dua tingkat pada tahun 1956, dan lapan tahun kemudian ia dibina semula sebagai sebuah masjid batu berbentuk payung separuh tertutup.

Berikutan dengan jumlah anak kariah yang semakin meningkat, masjid itu sekali lagi diubah suai bagi pada 1980an, dan pada 2005 kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk membina semula masjid itu.

Bangunan masjid itu kini meliputi kawasan lantai seluas 7,374 meter persegi dengan ruang solat yang mampu menampung 4,000 jemaah selain kemudahan tambahan termasuk dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah dan kelas pengajian.

Umno Perlu Wujud Pasukan Perang Psikologi Tangkis Dakwaan Pembangkang

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional terutamanya Umno perlu mewujudkan pasukan perang psikologi bagi menangkis dakwaan negatif pembangkang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata selain itu, strategi, integriti dan kredibiliti parti perlu ditingkatkan bagi menarik perhatian rakyat.

"Masalah kita adalah kita benarkan persepsi dan tanggapan negatif masyarakat terhadap kita berpanjangan. Bila dah berakar umbi, lebih susah untuk kita keluar dari keadaan itu," katanya pada sidang media di Angkasapuri di sini.

Syed Hamid berkata pewujudan pasukan perang psikologi juga boleh mematangkan parti dan menangkis sebarang tanggapan negatif masyarakat terhadap parti.

"Apabila ada sesuatu yang berlaku mesti ada tindakan pantas yang akan menghilangkan dan meredakan persepsi yang salah terhadap kita.

"Kita lemah dalam bidang penerangan serta lemah dalam propaganda penerangan sedangkan parti pembangkang kuat dalam propaganda walaupun mereka tidak ada penerangan," katanya.

05 Mac 2009

Kenyataan Nik Aziz Perkataan Allah Digunakan Bukan Islam Mengelirukan : Dr Abdullah

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam sangat mengelirukan umat Islam, kata penasihat agama kepada perdana menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Katanya ini kerana ia boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan menyentuh kesucian agama Islam daripada segi kepercayaan umat Islam bahawa Allah itu tiada anak dan tidak diperanakkan serta tiada sekutu bagiNya.

"Sememangnya masyarakat jahiliah ada menggunakan nama Allah sejak zaman Rasullullah S.A.W. lagi tetapi ia dalam bentuk yang salah dan menyeleweng seperti mereka mengatakan bahawa Allah itu mempunyai anak dan diperanakkan, malaikat merupakan anak perempuan Allah dan Allah mempunyai sekutu seperti berhala dan sebagainya.

"Sebab itu Rasullululah S.A.W. diutuskan untuk menghapuskan penyelewengan ini dan menyeru kembali kepada ajaran tauhid iaitu mengesakan Allah," katanya pada sidang akhbar bagi mengulas kenyataan Nik Aziz.

Pada 2 Mac lepas, Nik Aziz dilaporkan berkata tidak salah bagi orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah bagi merujuk kepada Tuhan dengan alasan bahawa dalam al-Quran sendiri ada menceritakan bahawa orang bukan Islam telah menggunakan perkataan Allah sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W. lagi.

Dr Abdullah berkata perkataan Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam dan penggunaan perkataan Allah hendaklah berasaskan kepada konsep tauhid seperti yang diajar oleh Islam sebagaimana yang terdapat dalam Surah al-Ikhlas dan ayat-ayat al-Quran yang lain.

SPR Tetapkan 7 April Pilihanraya Kecil Dun Batang Ai

KUCHING, 4 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 7 April bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di Sarawak, serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan DUN Bukit Selambau di Kedah.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika mengumumkan perkara itu di sini hari ini berkata hari penamaan calon bagi kerusi DUN Batang Ai juga ditetapkan serentak dengan dua lagi pilihan raya kecil itu pada 29 Mac.

Beliau berkata notis writ bagi pilihan raya kecil Batang Ai akan dikeluarkan Jumaat ini.

Kerusi DUN Batang Ai kosong berikutan kematian penyandangnya Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Feb lepas.

"Setelah menimbangkan beberapa faktor, sesuai untuk diadakan (pilihan raya kecil) serentak kerana tidak ingin tempoh berkempen yang terlalu panjang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat SPR lebih dua jam bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil kerusi Batang Ai.

Daripada segi logistik, katanya, sebanyak RM400,000 telah diluluskan bagi pilihan raya kecil itu dengan sebanyak 24 buah pusat pengundian akan dibuka termasuk di sekolah, rumah panjang dan premis kerajaan.

Kerusi DUN Batang Ai mempunyai 8,006 pemilih berdaftar, termasuk 7,963 pemilih biasa dan 43 pengundi pos, katanya dan menurutnya seramai 201 petugas telah dikenal pasti untuk menjalankan tugas pada pilihan raya kecil itu.

Abdul Aziz berkata SPR juga bersetuju menubuhkan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya yang bertanggungjawab memantau pemasangan bahan kempen dan aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Pasukan itu akan diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa dan dianggotai oleh seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding.

Beliau berkata SPR memberi kebenaran kepada Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) untuk menjadi pemerhati pada pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, Dublin memenangi kawasan yang majoritinya kaum iban selepas menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Nasional Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi dan dilantik menjadi Menteri Muda Sukan dan Pertanian Sarawak.