28 April 2009

Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bersama-sama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menganjurkan Program Saringan Kesihatan Reproduktif Wanita di Desa Kasih, Batu 2, Tebuk Pulai, Sabak Bernam pada 26 April yang lalu.

Saya hadir pada majlis perasmian program tersebut dan telah menyampaikan ucapan kepada hadirin yang majoritinya penduduk setempat. Turut hadir bersama saya adalah Dato' Hj. Mat Yasir dan Dato' Ramli dan para pegawai wakil-wakil pihak yang terbabit.

Saya di dalam ucapan sempat mengimbau nostalgia bagaimana projek Desa Kasih ini dipelopori oleh YBK semasa Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjadi Menteri Besar. YBK telah mencetuskan idea bagi menempatkan golongan-golongan miskin di suatu kawasan bagi merubah kehidupan mereka dan keluar daripada garis kemiskinan pada waktu itu.

Sesungguhnya kemiskinan merupakan lumrah hidup dan lebih penting lagi adalah ujian daripada Allah SWT.

Semasa pemerintahan Dato' Seri Mohamad Khir Toyo selaku Menteri Besar, projek yang dicetus oleh YBK ini diambil alih oleh Lembaga Zakat Selangor dan YBK telah diminta supaya menumpukan kepada pendidikan anak-anak miskin di dalam Selangor.

YBK sememangnya bertanggungjawab mendidik anak-anak Selangor yang cerdik tetapi tidak pernah berpeluang mendapat keputusan cemerlang kerana faktor kemiskinan.

Asrama Kasih YBK mula beroperasi pada tahun 1994 dengan mengambil 42 orang pelajar tingkatan 1 pada waktu itu. Anak-anak ini diberikan tempat tinggal yang selesa, makanan yang secukupnya, tuisyen dan perhatian. Hasilnya, keputusan SPM bagi kumpulan pertama ini : 17 orang mendapat gred 1, 12 orang mendapat gred 2 dan bakinya mendapat gred 3.

Itulah bukti bahawa "peluang" merupakan kata kunci kepada kejayaan seseorang pelajar, khususnya anak-anak miskin yang perlu mendapat pembelaan.

Saya amat berbesar hati dapat menjejakkan semula kaki ke Desa Kasih, Batu 2, Tebuk Pulai dan gembira dapat melawat penempatan ini yang menjadi lambang kepada kejayaan dan inisiatif YBK selama ini.






Program Basmi Kemiskinan Malaysia Berjaya : Shafie

LANGKAWI, 28 April (Bernama) -- Perkembangan pesat ekonomi negara sejak beberapa dekad lepas telah membantu Malaysia mengurangkan kadar kemiskinan daripada 58.7 peratus pada 1970 kepada 7.1 peratus sahaja pada 2007 manakala kadar kemiskinan tegar kini hanyalah 1.4 peratus.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata Malaysia berazam menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun depan.

"Cabaran utama ialah membina asas dan infrastuktur yang kukuh untuk meletakkan sosio-ekonomi golongan itu pada landasan yang betul," katanya ketika berucap pada dialog serantau mengenai pembasmian kemiskinan di luar bandar di sini, Selasa.

Shafie berkata tindakan itu dilaksanakan berasaskan tiga konsep iaitu memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti termasuk latihan vokasional dan memperbanyakan peluang latihan semula.

Konsep kedua ialah dengan melihat cara lebih inovatif bagi menggalakkan aktiviti ekonomi untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, dan ketiga, ialah memperluaskan skim bantuan termasuk bidang kecil yang sensitif khususnya berkaitan pinjaman kewangan.

Shafie berkata pelaksanaan program secara bersepadu dan mempelbagaikan bidang sosio-ekonomi untuk lebih 30,000 golongan miskin tegar menjadi pilihan kerajaan bagi menangani krisis ekonomi global.

BN Harus Rangka Strategi Di Luar Kotak Menawan Penanti

SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) harus 'berfikir di luar kotak' dalam strategi untuk mengatasi corak kempen pembangkang yang tidak bersopan seperti yang berlaku pada beberapa pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini, jika bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata BN harus merangka pendekatan baru pada pilihan raya kecil itu sehingga membuatkan pakatan PAS-DAP-PKR sentiasa teragak-agak dengan langkah BN seterusnya.

"Seperti yang kita sedia maklum, ramai di kalangan pemimpin akar umbi dalam pembangkang terdiri daripada bekas pemimpin Umno dan BN dan mereka tahu sangat akan pendekatan dan strategi BN seperti perang saraf dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melepaskan Motosikal keluaran Naza Bikes Sdn Bhd ke Iran dan Brunei di sini, Selasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.

Kerusi DUN Penanti itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 16 April lepas.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Biro Politik Umno yang dipengerusikannya akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada wakil parti itu akan bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.

Mukhriz juga berkata walaupun ada dakwaan kononnya BN berada dalam situasi parti bukan pilihan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, namun kedudukannya sebagai parti 'underdog' kadang-kadang ada kelebihannya tersendiri, yang mungkin boleh diguna pakai untuk meraih undi.

Beliau berkata, BN mungkin boleh mengguna pakai 'analogi undi simpati' yang digunakan pembangkang untuk meraih undi pada pilihan raya kecil Bukit Gantang, Perak 7 April lepas.

"Jika dikatakan PAS menang disebabkan undi kasihan pada pilihan raya Bukit Gantang, maka saya percaya BN ada peluang cerah jika guna pakai analogi sama dalam pilihan raya Penanti," katanya yang bersetuju dengan pendapat bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya BN bertanding pada pilihan raya kecil itu.

16 April 2009

Penulis Blog Diminta Henti Laporan Palsu, Sentuh Peribadi

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini meminta penulis blog menghentikan penulisan mengenai perkara palsu dan menyentuh peribadi.

Beliau berkata mereka yang menulis laporan palsu akan dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Menyatakan perkara palsu dan perkara menyentuh peribadi harus dihentikan oleh para penulis tersebut (penulis di internet dan blog).

"Jika mereka mengkritik kerajaan, itu hak mereka tapi jika berita mereka palsu maka kita akan mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi (dan Multimedia)," katanya kepada pemberita selepas melawat dan mendengar taklimat Jabatan Penerangan di Wisma Sime Darby di sini.

Beliau berkata perkara itu adalah antara yang dibincangkan pada mesyuarat pertama jemaah Menteri hari ini, selepas pembentukan Kabinet baru oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lepas.

Dr Rais berkata Perdana Menteri juga bersetuju bahawa nama rasmi kementerian yang diterajuinya itu ialah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, dengan menggugurkan perkataan "Kesenian".

"Ia tidak lagi mengandungi perkataan atau istilah lain selain tiga (perkataan) itu. Ia berasaskan kepada konsep jelas dan ringkas yang merangkul aspek perkhidmatan kerajaan Malaysia iaitu penerangan, komunikasi dan kebudayaan," katanya.

Katanya, ketiga-tiga kementerian yang digabung di bawah satu kementerian itu akan memperkasakan lagi tindakan serta apa sahaja yang berkuatkuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dr Rais berkata kementeriannya juga akan melaksanakan program "1Malaysia" secara bersungguh-sungguh supaya program difahami dan diterima semua lapisan masyarakat.

"Ianya satu gagasan pemikiran dan pelaksanaan dasar Malaysia yang mesti disatukan dari segi masyarakat, ekonomi, kepentingan sosial dan seterusnya daripada segi pelaksanaan kepentingan umum di negara ini," katanya.

Beliau berkata perincian mengenai konsep itu akan dihuraikan satu persatu melalui pelbagai jurusan di bawah kementerian itu dan berharap semua jabatan memainkan peranan masing-masing.

Katanya, Jabatan Penerangan pula diingatkan supaya kepentingan orang ramai diutamakan iaitu di kampung-kampung, kampung baru dan bandar semasa menyampaikan maklumat dan bimbingan kemasyarakatan.

Beliau mahukan pegawai penerangan di daerah bergabung tenaga dengan semua jabatan di bawah kementerian itu bagi menghasilkan khidmat, maklumat dan amalan penerangan yang berkesan mengenai dasar yang dibuat kerajaan.

Turut bersama ialah dua timbalan menteri berkenaan iaitu Datuk Joseph Salang Gandum dan Senator Heng Seai Kie, dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Abdullah Morad.

Sesi Penyerahan Sumbangan Kertas Pendua

Hulu Yam Bharu, 15 April - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah menyumbangkan 100 rim kertas pendua kepada Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Bharu (SKUYB).

Sumbangan disampaikan oleh wakil YBK, Puan Siti Rugayah kepada Guru Besar SKUYB, Puan Halimah bt. Moosa dan disaksikan oleh wakil Persatuan Ibu Bapa & Guru, Puan Noorani bt. Abd Hamid serta guru sekolah, Encik Adanan.

Pihak SKUYB telah menyatakan penghargaan kepada YBK di atas sumbangan tersebut yang sedikit sebanyak membantu perjalanan sekolah berkenaan.

Majlis diadakan secara ringkas dan disempurnakan di Bilik Mesyuarat SKUYB.

13 April 2009

Pertemuan Dengan Raja-Raja Melayu Mengenai Agama Islam Pada Mei : Jamil Khir

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom berkata pertemuan dengan Raja-Raja Melayu akan dipohon diadakan bulan depan untuk memohon perkenan berhubung penyelarasan serta penyeragaman Undang-undang Islam.

Beliau berkata selain itu pertemuan dengan Ketua Jabatan Agama Islam di setiap negeri juga akan diadakan.

"Pertemuan dengan Raja-Raja Melayu itu juga akan membincangkan mengenai undang-undang yang diterima pakai yang telah diperkenankan Majlis Raja-Raja sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Jamil Khir yang dilantik memegang portfolio itu pada Khamis lepas, buat pertama kalinya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Islam.

Pada mesyuarat itu sebanyak lima kertas kerja dibentangkan antaranya berkaitan undang-undang Islam, ekonomi Islam dan pendidikan.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai pembentukan koperasi masjid sebagai satu langkah untuk memperkukuhkan lagi institusi masjid.

"Pelaksanaannya akan dibuat sebaik menerima maklum balas daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) yang akan membantu dalam menyediakan modulnya," katanya.

Kerajaan Akan Jelaskan Mengenai Kementerian Pembangunan Usahawan

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang tidak lagi wujud ekoran pembentukan Kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tunggulah," katanya kepada pemberita selepas beliau menyerahkan tugas sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada penggantinya Datuk Mustapa Mohamed di sini hari ini.

Semasa mengumumkan barisan kabinet barunya pada Khamis lepas, Najib tidak menyebut mengenai MECD dalam senarai kementerian di bawah pentadbirannya, dan kemudian mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan bahawa semua agensi di bawah MECD disusun semula dan diserapkan ke beberapa kementerian lain.

Berikutan itu, terdapat laporan kebimbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Badan Bertindak Perpaduan Melayu dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia mengenai nasib usahawan Bumiputera memandangkan tidak ada lagi sebuah kementerian yang khusus bagi menjaga kepentingan mereka.

Terdapat 11 agensi sebelum ini diletakkan di bawah MECD, yang termasuk Mara, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun), Bank Pembangunan, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA).

Mengenai Umno, Muhyiddin berkata sama ada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri dilantik daripada kalangan Menteri Besar akan diputuskan oleh Najib selaku Presiden parti.

"Kalau ikut sejarahnya kadang-kadang begitu (menteri besar jadi pengerusi), kadang-kadang tidak begitu. Jadi kita akan lihat situasi di setiap negeri," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said bahawa Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri lebih layak diberikan kepada Menteri Besar.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata pucuk pimpinan kadang-kadang perlu mendapatkan pandangan pemimpin Umno di peringkat bahagian dan negeri.

10 April 2009

Anggota Kabinet Angkat Sumpah Jawatan

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengetuai barisan menteri dan timbalan menteri yang dilantik semalam mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Upacara penuh adat istiadat itu disaksikan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Upacara itu yang diadakan di Balairong Seri Istana Negara bermula tepat 9.30 pagi dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri.

Beliau melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia dan kemudian menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Selepas Muhyiddin, lima menteri kanan iaitu Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan), Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Tan Sri Bernard Dompok (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) kemudian mengangkat sumpah jawatan dan menyimpan rahsia yang dipimpin Mohamed Nazri.

Selepas itu, acara penyerahan surat cara pelantikan dan melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi menteri dan timbalan menteri pula dijalankan secara berkumpulan antara empat dan lima orang.

Yang turut mengangkat sumpah ialah Datuk Seri Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Peter Chin Fah Kui (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi).

Mereka diikuti oleh Datuk Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Dr Maximus Ongkili (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Douglas Unggah Embas (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (Menteri Pelancongan) dan Datuk Noh Omar (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani).

Kemudian diikuti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan), Datuk Shaziman Abu Mansor (Menteri Kerja Raya), Datuk Liow Tiong Lai (Menteri Kesihatan) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia dan Sukan).

Kumpulan seterusnya terdiri daripada Datuk Dr S. Subramaniam (Menteri Sumber Manusia), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (Menteri Kewangan Kedua) dan Datuk Kong Cho Ha (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Najib Umum Kabinet Baru 28 Anggota

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan barisan kabinetnya dengan menampilkan tujuh muka baru dan menggugurkan lapan anggota jemaah menteri yang lepas.

Kabinet baru ini menyaksikan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.

Najib, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lepas, mengekalkan portfolio Menteri Kewangan yang disandangnya sejak 19 Sept 2008, ekoran pertukaran portfolio pertahanan dengan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Seperti yang dijangkakan, kabinet Najib lebih kecil terdiri 28 menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian semasa pentadbiran Abdullah sebelum ini.

"Inilah saf dan inilah pasukan kita yang diharapkan menjadi cerminan kekuatan serta wajah kemajmukan Malaysia melalui Barisan Nasional yang mewakili semua rakyat dari setiap penjuru dan pelusuk Malaysia," kata Najib ketika mengumumkan barisan kabinet baru itu di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya yang disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen TV tempatan.

Barisan kabinet itu juga mencerminkan slogan pentadbiran Najib iaitu "Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan", yang mengajak rakyat bersama-sama melaksanakan transformasi besar untuk negara.

Daripada tujuh muka baru itu, empat dilantik menjadi menteri melalui lantikan senator iaitu Dr Koh, Jamil Khir, Sharizat dan Raja Nong Chik yang mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara khamis petang.

Dalam barisan kabinet itu, tujuh menteri mengekalkan portfolio masing-masing iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Ong Tee Keat (Pengangkutan), Datuk Seri Khaled Nordin (Pengajian Tinggi), Datuk Dr Maximus Ongkili (Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Douglas Uggah Embas (Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Liow Tiong Lai (Kementerian Kesihatan) dan Datuk Dr S.Subramaniam (Sumber Manusia).

Seramai 14 menteri bertukar portfolio, didahului Muhyiddin kini menerajui Kementerian Pelajaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelumnya.

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pula berpindah daripada Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok daripada Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein daripada Kementerian Pelajaran ke Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Rais Yatim daripada Kementerian Luar ke Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, dan Datuk Peter Chin Fah Kui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Turut berpindah kementerian ialah Datuk Seri Shafei Apdal (Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Mustapa Mohamed (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Dr Ng Yen Yen (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ke Kementerian Pelancongan), Datuk Noh Omar (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pertahanan, Datuk Shaziman Abu Mansor (Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi ke Kementerian Kerja Raya), Datuk Ahmad Shabery Cheek (Kementerian Penerangan ke Kementerian Belia dan Sukan) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Kementerian Belia dan Sukan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

Lapan menteri yang tidak tersenarai ialah Datuk Seri Syed Hamid Albar (Dalam Negeri), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pelancongan), Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Senator Datuk Amirsham A Aziz (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Ong Ka Chuan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Mohd Zin Mohamed (Kerja Raya), Datuk Seri Zulhasnan Rafique (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Shahrir Abdul Samad, yang meletakkan jawatan.

Tujuh muka baru yang dilantik ialah Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi, Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mej Jen Datuk Jamil Khir Baharom sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Muka baru lain ialah Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Anifah Aman sebagai Menteri Luar dan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, dan Naib Presiden MCA Datuk Kong Cho Ha, yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan, sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pengumuman kabinet Khamis menyaksikan penyusunan semula tiga kementerian iaitu Kementerian Penerangan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, bagi mewujudkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Perdana Menteri turut mengumumkan senarai 40 timbalan menteri termasuk dua yang dilantik melalui lantikan senator iaitu Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Mereka mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara Khamis petang ini.

Kabinet lepas mempunyai 37 timbalan menteri.

06 April 2009

Bersandarkan Harapan Baru Di Bukit Gantang, BN Yakin Dapat Sokongan

TAIPING, 5 April (Bernama) -- Dengan hari pengundian semakin hampir dan para calon memanfaatkan sepenuhnya hari-hari akhir berkempen, apa yang bermain di fikiran kebanyakan orang di bandar ini yang hampir setiap hari dilanda hujan ialah siapa yang akan berputih mata atau muncul juara.

Walaupun jawapannya akan hanya diketahui lewat malam Selasa ini, pemerhati politik dan mereka yang terbabit dalam berkempen yang memantau perkembangan itu dari dekat, sedikit sebanyak telah mendapat pertunjuk awal akan kecenderungan pengundi.

Sungguhpun tiada siapa yang benar-benar pasti mengenai pilihan pengundi, petanda awal menunjukkan BN memiliki kelebihan disebalik ramai pengundi bukan Melayu, terutamanya Cina, meletakkan harapan kepada PAS.

Malahan pucuk pimpinan PAS sendiri mengakui yang parti itu ketinggalan di belakang BN daripada segi sokongan orang Melayu tetapi mendahului daripada segi sokongan bukan Melayu.

Sumber dari PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) - dua anggota pakatan pembangkang yang dipertanggungjawabkan untuk berkempen bagi memancing undi bukan Melayu, berkata tiada keyakinan 100 peratus yang kemenangan berada dalam genggaman mereka berikutan isu baru seperti kepimpinan baru negara yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan penyertaan semula Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Umno, semua itu mungkin memberikan impak di kawasan luar bandar ini, terutamanya di kalangan pengundi Melayu.

Dalam pilihan raya umum 2008, allahyarham Roslan Shahrom dari PAS melakukan kejutan dengan menewaskan calon BN dari Umno Datuk Abdul Azim Zabidi dengan majoriti 1,566 undi. Tetapi penganalisis dari BN dan PAS berkata Roslan memperoleh hanya 47 peratus undi Melayu dan kemenangan beliau disebabkan mendapat kira-kira 65 peratus undi bukan Melayu.

Analisis terperinci keputusan pilihan raya umum 2008 menunjukkan peratusan pengundi Melayu yang mengundi ialah 77 peratus dan 51 peratus daripadanya mengundi BN manakala bakinya memilih PAS.

Bagaimanapun undi bukan Melayu yang menjatuhkan BN kerana daripada 14,975 pengundi Cina, 58 peratus keluar mengundi. Daripada jumlah itu, hanya 38 peratus mengundi BN dan apa yang mengejutkan ialah 54 peratus mengundi PAS.

Bagi 5,367 pengundi India, 64 peratus keluar mengundi dengan 48 peratus mengundi BN. Baki 49 peratus mengundi PAS, bermakna undi kaum India berpecah sama rata.

Calon BN, Ismail Saffian, yakin menang kerana menurutnya PAS tidak mendapat sokongan majoriti orang Melayu di Bukit Gantang sejak kawasan itu diwujudkan pada 1986.

"Apa yang nyata di sini ialah PAS hanya mendapat sokongan kira-kira 40 peratus (orang Melayu). Lagipun, perlu ingat, apabila kami kalah pada 2008, terdapat hampir 3,000 anggota Umno tidak keluar mengundi (ekoran isu dalaman) tetapi kali ini, kami percaya jumlah anggota kami yang tidak keluar mengundi akan dapat dikurangkan," kata Ismail, yang merupakan bekas pengarah operasi BN pada dua pilihan raya umum lepas.

Di samping itu, BN juga mempunyai rekod baik mendapat sokongan padu pada enam pilihan raya umum lepas kecuali tahun lepas apabila ia hanya memperoleh 45.91 peratus sokongan berbanding 60.37 peratus (2004), 55.59 peratus (1999), 68.97 peratus (1995), 60.35 peratus (1990) dan 60.87 peratus (1986).

"Jadi kali ini, kami percaya kami akan berjaya," kata Ismail.

Malahan, analisis oleh beberapa parti politik menunjukkan sokongan kepada PAS di kalangan orang Melayu di kawasan itu sebenarnya telah menurun kira-kira 2.0 peratus pada 2004 dan trend itu berterusan kepada pilihan raya umum tahun lepas yang mencatatkan penurunan 2.0 peratus lagi.

Bagaimanapun, penurunan sokongan orang Melayu kepada PAS ditimbal balas dengan peningkatan sokongan bukan Melayu terhadap PAS, yang menyaksikan peningkatan lebih 30 peratus pada 2008.

"Dalam pilihan raya kecil ini, walaupun amat mencabar, kami percaya dengan bersandarkan faktor kepimpinan baru dan pembebasan dua anggota Hindraf, sokongan kaum India kepada BN akan meningkat kepada 65 peratus," kata bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam.

Sekurang-kurangnya di atas kertas dan berdasarkan kiraan konservatif awal, BN dilihat mendahului daripada segi undi Melayu dan ini telah memaksa PAS merumuskan strategi untuk mengekalkan peratusan tinggi undi bukan Melayu.

Sebab itu kenapa beberapa penganalisis politik percaya keputusan PAS mencalonkan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin pada pilihan raya kecil itu ialah untuk memanfaatkan popularitinya di kalangan bukan Melayu untuk mendapatkan sokongan 14,955 pengundi Cina dan 5,526 pengundi India.

"Pakatan pembangkang (terdiri daripada PAS, DAP dan PKR) mensasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus undi bukan Melayu sepertimana pada pilihan raya umum lepas apabila ia memperoleh 68 peratus undi bukan Melayu dan pada masa yang sama mengekalkan 47 peratus sokongan orang Melayu," kata seorang sumber dari DAP.

Tetapi dalam pilihan raya kecil ini, anggota DAP itu berkata agak sukar untuk menyaksikan perkara itu berulang kerana hari pengundian pada Selasa ini merupakan hari bekerja dan jangkaan 70 peratus pengundi bukan Melayu keluar mengundi mungkin tidak dapat dicapai.

Malahan, beliau bimbang peratusan yang keluar mengundi di kalangan bukan Melayu mungkin di bawah 55 peratus kerana terdapat pengundi yang tinggal di tempat mereka bekerja seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Singapura dan Pulau Pinang.

Pengundi luar daerah ini, kebanyakannya pengundi muda, dikatakan cenderung kepada pembangkang. Dalam pilihan raya umum tahun lepas, kadar keseluruhan yang keluar mengundi ialah 72 peratus dan pada pilihan raya kecil ini, Suruhanjaya Pilihan Raya menganggarkan peratusannya mungkin setinggi 75 peratus.

Oleh itu, jika pengundi di luar daerah tidak balik untuk mengundi, dengan itu peratusannya mungkin kurang 72 peratus. Ini mungkin tidak akan memihak kepada pembangkang kerana BN akan berusaha memastikan peratusan orang Melayu yang keluar mengundi melebihi 70 peratus. Ini berikutan hakikat peratusan di kalangan pengundi Melayu yang keluar mengundi biasanya lebih tinggi daripada bukan Melayu di Bukit Gantang sepertimana dibuktikan pada pilihan raya umum lepas di mana peratusan pengundi Melayu ialah 75.4 peratus berbanding 62.2 peratus bukan Melayu.

Sejak pewujudan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada 1986, jumlah peratusan keluar mengundi dalam enam pilihan raya umum lepas menunjukkan ia sentiasa antara 67 dan 73 peratus dengan purata 70 peratus.

Daripada segi teori, syarat minimun bagi BN untuk memenangi semula kerusi itu ialah dengan mengekalkan 40 peratus sokongan bukan Melayu dan meningkatkan sokongan orang Melayu kepada 55 peratus.

Bagaimanapun, dengan jangkaan penurunan sebanyak 10 peratus lagi sokongan di kalangan bukan Melayu, penganalisis politik meramalkan BN akan memerlukan sekurang-kurangnya 62 peratus undi orang Melayu untuk memenangi kerusi itu.

Jika sokongan bukan Melayu turun kepada 20 peratus, dengan itu BN perlu mendapat sekurang-kurangnya 70 peratus undi orang Melayu.

Dengan perkembangan baru dalam BN seperti kepimpinan baru di peringkat persekutuan, kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pembebasan tahanan ISA serta konsep Satu Malaysia yang didukung oleh Najib, kewujudan harapan baru itu bakal memberikan kelebihan kepada BN.

03 April 2009

Abdullah Serah Tugas Kepada Najib

PUTRAJAYA, 3 April (Bernama) -- Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan tugas Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Upacara penyerahan tugas itu berlangsung di tingkat lima, Pejabat Perdana Menteri pada pukul 4.50 petang.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ini merupakan sejarah negara apabila buat pertama kalinya anak Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri pula. Najib merupakan anak sulung Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein.

Dalam upacara itu, Abdullah yang berbaju Melayu jingga menyerahkan Fail Meja YAB Perdana Menteri berwarna biru sebagai tanda penyerahan tugas dan tanggungjawab kepada Najib yang berbaju Melayu merah jambu sambil disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Upacara itu juga menandakan lengkapnya proses peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib secara tersusun dan berjalan dengan lancar, mengekalkan tradisi peralihan kuasa negara dari dahulu hingga sekarang.

Pada 8 Okt lalu, Abdullah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dan akan melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Mac tahun ini, sekaligus mempercepatkan pelan peralihan kuasa kepada Najib yang sebelum ini dijadualkan pada Jun 2010.

Sabtu lalu, Abdullah secara rasmi menyerahkan jawatan Presiden Umno kepada Najib yang memenangi jawatan itu tanpa bertanding di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Semalam, Abdullah yang telah menerajui kepimpinan negara lebih lima tahun menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi menyerahkan surat melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memohon perkenan Seri Paduka melantik Najib sebagai penggantinya.

Abdullah dilantik Perdana Menteri kelima pada 31 Okt 2003 dan majlis penyerahan tugas antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad juga berlangsung pada hari Jumaat di tempat yang sama.

Selepas upacara itu, Abdullah dan isteri Tun Jeanne Abdullah bersalaman dengan para menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan kerajaan yang menunggu di aras lobi Pejabat Perdana menteri.

Kedua-dua mereka kemudiannya bersalaman dengan kakitangan Jabatan Perdana Menteri yang berbaris dari pintu utama hingga ke kereta Abdullah. Turut mengiringi mereka ialah Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebelum itu, bacaan doa dibacakan oleh Imam Besar Masjid Putra Datuk Manaf Mat yang memohon kesejahteraan kepada Abdullah, isteri dan keluarganya.

Sedih dan pilu menyelubungi suasana apabila ada antara mereka yang kelihatan sebak dan sedih.

Najib dan Rosmah kemudiannya mengiringi Abdullah dan Jeanne hingga ke kereta dan Abdullah sempat melambaikan tangannya sebelum meninggalkan perkarangan Pejabat Perdana Menteri pada pukul 5.25 petang.

Abdullah, 70, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 8 Jan 1999, sebelum menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Dr Mahathir yang meletakkan jawatan.

Abdullah berkelulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) merupakan bekas penjawat awam dan antaranya termasuk sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sejak menceburkan diri dalam bidang politik sejak 1964, Abdullah pernah memegang pelbagai portfolio dalam kerajaan termasuk Menteri Pelajaran, Menteri Pertahanan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Luar, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kewangan.

Najib, 55, yang dilahirkan di Kuala Lipis pula pernah menjadi Anggota Parlimen yang termuda ketika berrusia 22 tahun apabila memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding pada 1976. Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya iaitu allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi Perindustrian dari University of Nottingham, England, memulakan kariernya dalam perkhidmatan awam apabila berkhidmat sebagai Pengurus Perhubungan Awam Petronas dari 1974 hingga 1976 dan selepas itu menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Penternakan Malaysia sehingga 1978.

Najib melakar sejarah sebagai timbalan menteri termuda apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 27 Julai 1978 ketika berusia 25 tahun.

Pada 1982, Najib sekali lagi menempa sejarah apabila dilantik menjadi Menteri Besar Pahang ke-11, menjadikanya menteri besar termuda ketika berusia 29 tahun dan jawatan itu disandangnya sehingga 1986.

Sejak itu, kariernya terus berkembang ke peringkat persekutuan dengan beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (Mei 1987 hingga Oktober 1990), Menteri Pertahanan (Oktober 1990 hingga April 1995), Menteri Pelajaran (Mei 1995 hingga November 1999) dan sekali lagi Menteri Pertahanan (Disember 1999 hingga September 2008).

Ketika Najib dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 7 Jan 2004, beliau masih terus menerajui Kementerian Pertahanan sehingga September 2008 apabila beliau diberikan portfolio Menteri Kewangan.

Di bidang politik, Najib pernah menjadi Ketua Pemuda Umno dari 1987 hingga 1993 dan selepas itu memenangi kerusi Naib Presiden Umno pada 1993 dan terus mempertahankannya sehingga diberi kepercayaan sebagai Timbalan Presiden parti pada 2004.

Najib yang mempunyai lima orang anak -- tiga lelaki dan dua perempuan -- menjadi Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno Sabtu lepas.

Peralihan Kuasa Secara Aman Hadiah Berharga Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama)-- Peralihan kuasa secara aman antara Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap hadiah yang amat berharga daripada seorang pemimpin berjiwa besar kepada rakyat.

Dalam khutbah yang dibacakan di seluruh negara pada solat Jumaat hari ini, rakyat Malaysia diseru supaya menghargai pengorbanan mantan Perdana Menteri Abdullah kerana tindakan beliau untuk memastikan kestabilan negara terus kukuh dan rakyat boleh meneruskan kegiatan ekonomi dan beribadah secara aman.

"Mimbar ini amat yakin peralihan kuasa secara aman dianggap sebagai langkah bijak demi menjaga masalah negara dan masa depan umat Islam," menurut teks khutbah tersebut yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang difaks kepada Bernama.

Kandungan khutbah itu menyatakan bahawa berdasarkan sejarah politik negara, peralihan kuasa secara aman bukanlah perkara baru tetapi sebenarnya telah menjadi budaya di negara ini.

"Banyak negara kagum dengan tradisi peralihan kuasa di Malaysia tanpa ada kekecohan besar walaupun rakyat terdiri daripada berbilang kaum dan berlainan agama."

Selain itu, umat Islam juga diingatkan bahawa jawatan pemimpin tidak boleh dianggap sebagai satu keistimewaan kerana ia boleh menjejaskan tumpuan dalam memberi perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

"Islam melihat seorang pemimpin itu ibarat wakil atau pemberi khidmat kepada rakyat manakala rakyat pula berhak untuk menasihati seseorang pemimpin," menurut khutbah itu.

Abdullah Mantapkan Agenda Integriti Dan Akauntabiliti

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Perdana Menteri kelima Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dikenang atas usahanya memantapkan agenda integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan yang meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kredibiliti kerajaan.

Abdullah mula memberi penekanan terhadap pentingnya usaha memerangi rasuah kerana tidak mahu penyakit ini merebak melemahkan ekonomi negara dan menegakkan integriti dalam pentadbirannya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Okt 2003.

Pada 2004, beberapa bulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) selain mewujudkan beberapa suruhanjaya lain selepas itu.

Pada 1 Jan lepas, beliau mengumumkan langkah menaik taraf Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memberi lebih kuasa untuk badan itu bebas bertindak membanteras gejala rasuah.

Menyahut saranan bagi memperbaik imej badan kehakiman, Abdullah mewujudkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jawatankuasa Etika Hakim dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaaan.

Abdullah, bekas pegawai tadbir dan diplomatik negara yang pertama dilantik ke jawatan tertinggi sebagai Perdana Menteri, dalam pentadbirannya sentiasa menekankan perlunya meningkatkan kecekapan pentadbiran awam terutama yang berkaitan dengan perkhidmatan kepada orang ramai.

Usaha ini mencapai kejayaan cemerlang terutama dengan penubuhan Pemudah - Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan pada 2007 - yang antara lain terlibat dalam mengkaji semula status sistem penyampaian perkhidmatan awam dari segi proses, prosedur, perundangan dan sumber manusia dalam memperkenal pembaikan serta mengkaji amalan yang terbaik dalam sektor awam yang boleh dilaksanakan sektor awam.

Beliau menyertai PTD selepas lulus Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Islam pada 1964 dan merupakan timbalan ketua setiausaha kebudayaan, belia dan sukan sebelum berhenti untuk menyertai politik pada 1978.

Pemimpin ini, yang dalam ucapan sulungnya meminta rakyat "kerja bersama saya dan bukan bekerja untuk saya", sepanjang kepimpinan beliau turut memperkenal pendekatan Islam Hadhari yang memberi penekanan kepada kemajuan dan pembangunan ummah dalam aspek kerohanian, keilmuan, ekonomi, kualiti hidup masyarakat, undang-undang dan sebagainya.

Abdullah dilahirkan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 26 Nov 1939, dan sepanjang menjadi Perdana Menteri, mengemudi usaha menjadikan industri pertanian sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi ketiga negara dan membolehkan hasil pertanian menembusi pasaran baru di luar negara.

Dalam usahanya untuk membetulkan ketidakseimbangan pembangunan di negara ini, Abdullah turut melancarkan beberapa koridor pembangunan dengan yang pertama Iskandar Malaysia pada 2006, diikuti dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC)dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

Abdullah dilahirkan dalam keluarga ulama ternama, pengasas dan penyokong kuat Umno.

Beliau dinamakan mengikut nama datuknya yang dikenali ramai, Abdullah bin Ibrahim atau Abdullah Fahim, yang bertanggungjawab menasihati perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mengenai tarikh sesuai bagi kemerdekaan negara -- 31 Ogos.

Abdullah menjadi presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) semasa di universiti dari 1961 hingga 1964 dan berpengalaman bekerja di bawah perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein apabila beliau dilantik sebagai ketua penolong setiausaha Majlis Gerakan Negara yang ditubuhkan selepas insiden 13 Mei 1969.

Antara tugas majlis itu ialah untuk merapatkan jurang perbezaan antara pelbagai kaum di negara ini dan memberikan pendedahan terbaik dalam pembinaan negara.

Pada pilihan raya umum 1978, Abdullah yang merupakan anggota Umno sejak 1964, disenarai pendek untuk bertanding di kawasan parlimen Kepala Batas di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak dan menang dengan majoriti besar kira-kira 5,000, menewaskan calon PAS Musa Mohd Yatim, dan beliau kekal menjadi wakil rakyat kawasan itu selama lapan penggal.

Abdullah antara individu yang meniti kerjaya di bawah tiga perdana menteri -- Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad - bermula dengan pelantikannya sebagai setiausaha parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan selepas menang pada pilihan raya umum 1978, dan dua tahun kemudian dinaikkan ke jawatan timbalan menteri di kementerian yang sama.

Pada 18 Julai 1981 Abdullah dilantik sebagai menteri penuh - Menteri di Jabatan Perdana Menteri - dan diberi tanggungjawab melaksanakan kempen "Kepimpinan Melalui Tauladan" di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Selepas itu beliau menjadi Menteri Pelajaran (1984 hingga 1986), Menteri Pertahanan (1986) hingga digugurkan jawatan pada 1987 berpunca daripada krisis dalaman Umno.

Abdullah kembali pada 1991 apabila dilantik sebagai Menteri Luar pada Mac 1991, jawatan yang dipegangnya hampir lapan tahun hingga Januari 1999 sebelum dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Selepas menang pada pilihan raya umum 1978 juga, Abdullah dilantik memegang jawatan timbalan pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Umno Pulau Pinang pada Februari 1979 dan menjadi pengerusinya setahun kemudian.

Pada 1981, Abdullah dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi dalam pemilihan Umno dan tiga tahun kemudian mendapat undi kedua terbanyak untuk jawatan naib presiden. Beliau mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti 1987.

Semasa penubuhan Umno baru pada 1988, Abdullah dilantik Dr Mahathir sebagai naib presiden dalam jawatankuasa sementaranya dan mempertahan jawatan itu pada pemilihan Umno 1990.

Bagaimanapun beliau gagal mengekalkan kedudukan itu pada pemilihan parti 1993 tetapi memenangi jawatan itu semula pada pemilihan 1996.

Pada pemilihan Umno Mei 2000, Abdullah menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden, lantas menyokong pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Selaras dengan jawatan barunya di dalam parti, Abdullah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Jawatankuasa Disiplin Umno.

Pada 22 Jun 2002, Abdullah dinamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 31 Okt 2003

Beliau mengesahkan jawatan presiden parti yang dipangkunya dengan menang tanpa bertanding jawatan itu pada 2004. Dan pada pemilihan Umno minggu lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih selepas menang tanpa bertanding jawatan presiden parti berikutan keputusan Abdullah melepaskannya.

Abdullah semalam menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara untuk menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memohon perkenan Seri Paduka bagi pelantikan Najib sebagai penggantinya.

Najib Ikrar Sumpah Jawatan Dan Sumpah Menyimpan Rahsia

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia kenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Upacara yang penuh adat istiadat itu, yang berlangsung di Balai Rong Seri Istana Negara di sini, menyaksikan Najib melafazkan ikrar berbunyi berikut:

"Bismillahirahmanirrahim.

Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dilantik memegang jawatan Perdana Menteri dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan jujur, dengan segala daya-upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan kepercayaan dan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan juga memelihara, melindungi serta mempertahankan perlembagaannya."

"Bismillahirahmanirrahim.

Wallahi, Wabillahi, Watallahi

"Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan diketahui oleh saya sebagai seorang Perdana Menteri kecuali sebagai mana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sempurna kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagai mana yang mungkin dibenarkan dengan khas oleh Yang di-Pertuan Agong."