28 Mei 2009

SPM: Maksimum 10 Subjek SPM Mulai Tahun Depan

NILAI, 28 Mei (Bernama) -- Setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Serentak dengan itu, beliau berkata beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM.

"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek hari ini.

Muhyidin, yang juga Menteri Pelajaran, diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Muhyiddin berkata daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek.

Ini juga akan mengatasi masalah pada sesetengah subjek yang kekurangan guru malahan ibu bapa dapat menjimatkan wang daripada terpaksa membayar lebihan subjek perlu diambil apabila menghantar anak mereka ke kelas tuisyen, katanya.

Muhyiddin berkata kementerian amat serius untuk merapatkan jurang di antara pelajar bandar dan luar bandar walapun perbezaan jurang ini tidak sejauh mana.

"Sebenarnya jurang ini tidak terlalu jauh tetapi masih ada perbezaan yang agak ketara daripada sudut lain dan ini dilihat daripada segi keputusan peperiksaan," katanya.

Pembaharuan yang dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-10 membabitkan pembangunan prasarana, tenaga guru dan cara pembelajaran murid, katanya.

"Lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar ini terdapat ramai orang bumiputera Melayu, bumiputera yang agak miskin, kurang berkemampuan. Kita mahu pembangunan sekolah-sekolah di luar bandar sama tahapnya baik daripada segi infrastruktur, cara pembelajaran sebagaimana yang terdapat di kawasan-kawasan yang sudah maju," kata Muhyiddin.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan guru-guru yang berkelayakan untuk mengajar bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di pedalaman merupakan cabaran utama bagi kementeriannya melaksanakan pembaharuan itu.

Walaupun kementerian ada menawarkan elaun sebanyak RM1,500 sebagai insentif sejak dari tahun lepas untuk mereka datang ke kawasan pedalaman misalnya di Sabah dan Sarawak, masih banyak cabaran lain perlu ditangani.

Beliau sedang memikirkan cara untuk menyenangkan kehidupan guru-guru yang dihantar ke kawasan pedalaman ini kerana walaupun mendapat elaun, kementerian sedar masalah lain seperti perumahan menjadi asas utama perlu diatasi.

Kompleks Pendidikan yang dilawati Muhyiddin hari ini terletak di kawasan seluas 400 hektar dan menempatkan kompleks Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pengajian Tinggi.

Kos keseluruhan projek ialah RM1.3 bilion dan sebahagiannya dijadual siap pada penghujung 2010.

Jangan Bincang Kes Masih Dibicarakan Di Mahkamah Syariah : Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kenyataan atau menyentuh kes-kes yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Tanpa merujuk mana-mana kes, beliau berkata perbuatan sebegitu boleh menimbulkan keadaan subjudis terhadap sesuatu kes.

"Apabila benda (kes) itu telah dibawa ke Mahkamah Syariah, kita patut menghormatinya seperti mana kita tidak pernah menganggu kes-kes mahkamah sivil," katanya kepada pemberita pada majlis anugerah khidmat cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Jamil Khir berkata demikian kepada ketika diminta mengulas mengenai proses perbicaraan kes-kes di mahkamah syariah seperti perceraian yang berlanjutan dan mengambil masa yang lama sehingga mencecah beberapa tahun.

Menurutnya pengetahuan agama yang cetek mengenai proses sesuatu kes untuk dibicarakan menyebabkan sesetengah pihak menganggap kes berkenaan mengalami kelewatan untuk diselesaikan.

24 Mei 2009

Perasmian Mesyuarat UMNO Cawangan Taman Idaman, Serendah

Saya telah hadir ke majlis perasmian Mesyuarat UMNO Cawangan Taman Idaman, Serendah pada 24 Mei 2009.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Ketua UMNO Cawangan, Ketua Wanita serta semua Ahli Jawatan Kuasa (AJK) yang terlibat.

Tahniah diucapkan kepada cawangan ini yang telah berjaya mengadakan mesyuarat.

22 Mei 2009

Cadangan Hapus Sistem Kuota Ditentukan Perhimpunan Khas Umno Hujung Tahun

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Cadangan untuk menamatkan sistem kuota pencalonan bagi pemilihan Umno akan dibincangkan dan diputuskan pada satu perhimpunan khas parti penghujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden Umno berkata perkara itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan parti yang bermesyuarat hari ini.

"Sebaik diluluskan, perlembagaan parti serta merta akan dipinda," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan Umno di sini, Khamis.

Hishammuddin berkata dengan penghapusan sistem kuota, sesiapa sahaja anggota parti yang merasakan diri mereka layak, boleh menawarkan diri di semua peringkat.

"Ia dilihat sebagai satu usaha lebih telus, bebas serta memberi peluang kepada sesiapa saja untuk tawar diri dan mendapat tempat jika ada sokongan daripada ahli," katanya.

Berdasarkan sistem kuota itu, kelayakan untuk bertanding jawatan Presiden ialah sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan daripada 191 bahagian UMNO, Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan anggota Majlis Tertinggi (lima peratus).

Hishammuddin berkata jawatankuasa berkenaan turut menimbang cadangan supaya mesyuarat pemilihan di semua peringkat bahagian diadakan serentak dengan melibatkan 60,000 anggota.

"Ia dilihat lebih realistik dari segi logistik berbanding pelaksanaan mesyuarat serentak di peringkat cawangan yang melibatkan jumlah ahli yang besar, iaitu 3.4 juta orang," katanya.

Mengenai Umno Terengganu, Hishammuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri itu, malam tadi mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan Umno negeri itu dan mereka sepakat bahawa sebarang persepsi mengenai perpecahan dalam Umno di negeri itu perlu dihapuskan segera.

"Alhamdulillah, semua pihak sedar bahawa kepentingan parti dan negeri diberikan keutamaan. Persepsi sama ada benar atau tidak berlaku perpecahan dan wujud puak-puak tertentu dalam parti perlu dikikis," katanya.

Menurut beliau semua pihak turut bersetuju bahawa matlamat perjuangan parti hanya akan tercapai sekiranya Umno terus berpegang kepada perkara seperti kesetiaan kepada Raja, akur kepada pucuk pimpinan dan negara serta mengutamakan masa depan rakyat.

Hishammuddin turut mengarahkan kepimpinan Umno negeri itu supaya turun ke bahagian masing-masing untuk menyampaikan mesej itu kepada akar umbi.

"Ini merupakan titik permulaan kepada penyusunan dan merapatkan semula barisan di Terengganu sebagai persediaan menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya.

Cadangan Mendaftarkan Penulis Blog Perlu Diperhalusi - Dr Rais

SHAH ALAM, 21 Mei (Bernama) -- Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini berkata pandangan sesetengah pihak bahawa penulis blog di Malaysia patut didaftarkan perlu diperhalusi daripada segi perundangan.

Beliau berkata perlu dilihat sama ada pendaftaran itu boleh dilakukan mengikut undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, katanya penulis blog yang didapati memutarbelitkan fakta boleh diambil tindakan mengikut Kanun Acara Jenayah dan Kanun Keseksaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas cadangan itu selepas melawat Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas Selangor di sini, Khamis.

Dr Rais berkata kerajaan juga sedang meneliti akta baru iaitu Akta Tandatangan Multimedia yang diproses sejak tiga tahun lepas, yang akan meneguhkan lagi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Dr Rais berkata beliau mahu para pegawai kementerian meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang internet termasuk blog, sesuai dengan peredaran zaman.

Katanya jika beliau yang telah merentas zaman di bawah lima Perdana Menteri mampu mempelajari perkara-perkara baru menerusi internet apatah lagi para pegawai kementerian.

Beliau berkata Pegawai Penerangan juga perlu mendekati rakyat dan menyampaikan maklumat kerajaan melalui saluran tidak formal seperti berinteraksi dengan masyarakat di kedai kopi, gerai dan pasar.

"Penyampaian maklumat secara kurang formal tetapi secara langsung dijangka lebih berkesan," katanya.

Dr Rais berkata kakitangan kementerian, khususnya Pegawai Penerangan merupakan mata dan telinga kerajaan dan mereka perlu memainkan peranan menyelami hati rakyat.

20 Mei 2009

Masyarakat Perlu Tahu Bagaimana Zakat Dibelanjakan, Kata Jamil

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama)-- Orang ramai khususnya masyarakat Islam perlu didedahkan bagaimana dana zakat dibelanjakan bagi meningkatkan keyakinan mereka terhadap institusi yang menguruskan kutipan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata pihaknya sedang mengkaji bagaimana proses itu boleh dipaparkan melalui media massa terutamanya televisyen.

"Masyarakat perlu didedahkan bagaimana dan ke mana dana zakat dibelanjakan, secara telus, bagi meningkatkan keyakinan mereka, dan menggalakkan lagi mereka untuk berzakat," katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan UKM Holdings Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata individu-individu yang berjaya melalui bantuan daripada dana zakat patut ditonjolkan melalui media massa supaya menjadi teladan kepada masyarakat.

"Kita tunjukkan bagaimana mereka berubah daripada seorang asnaf (penerima zakat) kepada orang yang berjaya, yang akhirnya menjadi pihak yang mengeluarkan zakat.

"Ini dapat memberi kefahaman kepada orang ramai bagaimana dana zakat memberi manfaat kepada pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Baitulmal Kebangsaan di Hotel Palace of Golden Horses di sini hari ini anjuran JAWHAR.

Mesyuarat itu dihadiri kira-kira 30 orang wakil daripada Majlis Agama Islam negeri-negeri; pengurusan Pusat Zakat Negeri; Kementerian Kewangan; Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Institut Kajian Zakat Universiti Teknologi Malaysia Melaka (IKaZ); Lembaga Zakat Antarabangsa; Yayasan Wakaf Malaysia; dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata, antara lain mesyuarat itu bertujuan untuk menyelaraskan tugas dan tanggungjawab majlis agama negeri dan badan-badan berkaitan supaya tidak berlaku sebarang pertindihan dan kekeliruan.

"Enam kertas kerja turut dikemukakan sebagai usaha dan cadangan untuk meningkatkan taraf kemajuan umat Islam di Malaysia dalam bidang sosio-ekonomi dan sosial, khususnya yang berkaitan dengan wakaf, zakat dan mal," katanya.

Jamil Khir berkata mesyuarat itu juga memutuskan untuk menganjurkan Bulan Kesedaran Zakat bagi menggalakkan masyarakat Islam membayar zakat, selain zakat fitrah, sebulan sebelum Ramadan iaitu pada bulan Syaaban tahun ini.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa Ayah Pin telah dikesan di Terengganu, Jamil berkata ia menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas dakwaan tersebut.

18 Mei 2009

BN Tidak Bertanding Di Penanti, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Penanti, di Pulau Pinang.

Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengumumkan keputusan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN selama lebih dua jam di Menara Datuk Onn di sini, berkata perkara itu dibincangkan dengan "panjang lebar" dan semua parti komponen BN menyetujui keputusan tersebut.

"Dewan Tertinggi (BN) mengambil keputusan oleh kerana kekosongan ini bukan disebabkan oleh peruntukan di dalam perlembagaan yakni kekosongan disebabkan kerana Parti Keadilan (Rakyat) hendak menyelesaikan masalah dalaman mereka.

"Oleh kerana ini juga satu permainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan peruntukan perlembagaan dan oleh kerana BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan usaha untuk memulihkan ekonomi negara, maka kita memutuskan supaya tidak meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil di Penanti," katanya.

Pada 27 April, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi DUN N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi ialah pada 31 Mei.

Kerusi DUN itu kosong berikutan peletakan jawatan wakil rakyatnya Mohammad Fairus Khairuddin melalui surat bertarikh 19 Mac 2009.

Mohammad Fairus, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lepas dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan rasuah.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Akhir bulan lepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan suruhanjaya itu tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Mohammad Fairus memenangi kerusi DUN Penanti dengan meraih 7,346 undi, menewaskan calon BN Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Umno Akan Lancar Gerakan Perkukuh Gerak Kerja Anggota

MUAR, 17 Mei (Bernama) -- Umno akan melancarkan gerakan besar-besaran tidak lama lagi untuk mengukuhkan gerak kerja anggota dan mengembalikan semangat perjuangan mereka sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usaha pengukuhan parti perlu dilakukan sekarang dan tidak menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang pada 2013.

"Saya telah mengarahkan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memulakan latihan dan kursus untuk mengukuhkan gerak kerja parti dan mengembalikan semangat perjuangan anggota," katanya ketika merasmikan secara serentak persidangan berkelompok cawangan-cawangan Umno Bahagian Pagoh di Dewan Sri Pekembar di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata modul latihan yang akan diterapkan pada gerakan besar-besaran itu meliputi hal pengukuhan jentera parti, tanggungjawab bersama dan mengeratkan persaudaraan sesama anggota parti.

Gerakan besar-besaran kursus dan latihan anggota parti itu akan melibatkan kesemua sayap Umno, kata Muhyiddin yang juga merupakan Anggota Parlimen Pagoh.

Muhyiddin berkata anggota Umno perlu memperkukuhkan semangat perjuangan mereka untuk menghadapi pelbagai cabaran yang timbul pada ketika ini.

Katanya parti pembangkang yang berjaya menguasai lima negeri selepas pilihan raya umum lepas tidak akan menghentikan serangan mereka terhadap BN walaupun pilihan raya umum telah lama berlalu.

"Pembangkang melemparkan pelbagai cerita tentang Umno, mereka telah memutarbelitkan fakta dan maklumat untuk memastikan rakyat sentiasa membenci kita. Ramai yang terpengaruh termasuk di kalangan orang Melayu," kata beliau.

Jentera Umno pula, kata Timbalan Presiden Umno gagal menepis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh parti pembangkang, menyebabkan rakyat mempercayai tohmahan berkenaan.

Umno kini perlu berubah dan perlu mendekati kaum-kaum lain selain orang Melayu dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka, katanya.

"Jika dahulu masalah orang Melayu diselesaikan oleh Umno, Cina oleh MCA dan India oleh MIC, tetapi kini tidak lagi. Umno kini perlu berubah, masalah mereka (kaum lain) juga adalah masalah Umno," kata Muhyiddin.

Ibarat "telor hujung tanduk", beliau berkata Umno kini berada dalam keadaan kritikal perlu berubah dan perubahan itu perlu dilaksanakan di peringkat akar umbi parti.

Perubahan yang diperlukan itu, kata beliau menghendaki anggota parti melihat kembali apa yang silap daripada dalam diri mereka dan memperbaikinya.

Beliau meminta setiap anggota di peringkat cawangan supaya tidak menyembunyikan kesilapan dan kedudukan sebenar parti dan memberikan situasi sebenar kepada pemimpin-pemimpin.

14 Mei 2009

Tunggu Keputusan Arab Saudi Kos Haji Naik Atau Tidak

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan masih menunggu keputusan daripada Arab Saudi sama ada berlaku atau tidak kenaikan kos perbelanjaan haji mulai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata ketika ini proses pembinaan prasarana baru di Mekah sedang giat dijalankan dan tidak menolak kemungkinan kos meningkat akibat penambahbaikan prasarana itu.

"Bangunan baru di Mekah sedang dibangunkan.Hotel-hotel lama yang tak berapa sesuai diganti dengan pembinaan baru. Begitu juga dengan di Madinah. Sistem perhubungan diperbaharui termasuk kapal terbang dan kereta api laju," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pelancongan Islam, Haji dan Umrah kali Ketiga di sini hari ini, Jamil Khir berkata kerajaan Arab Saudi juga sedang menyediakan peraturan-peraturan baru.

"Selain penggunaan pasport antarabangsa untuk menunaikan haji mulai tahun ini, mereka juga membesarkan bilik-bilik. Tidak benarkan lagi satu bilik 10 orang. Bila peraturan baru dipertingkatkan, tentulah akan mengambil kira keperluan semasa (termasuk kos)," katanya.

Terdahulu dalam ucaptamanya pada majlis perasmian itu, Jamil Khir berkata Malaysia berpotensi membangunkan produk pelancongan Islam dengan kewujudan masjid-masjid dan tempat sejarah Islam yang ditambah baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata bagi menarik kunjungan pelancong terutamanya bukan Muslim, setiap masjid harus menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong, ruang pameran dan galeri serta maklumat mengenai sejarah penubuhannya.

"Selain itu seni bina yang menarik, persekitaran yang bersih dan ceria, kemudahan tandas yang selesa dan penyediaan risalah mengenai Islam dan fungsi-fungsi masjid turut mendorong minat pelancong agar kembali ke negara ini sebagai salah satu destinasi percutian pelancongan Muslim," katanya.

Persidangan sehari anjuran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) ini bertujuan menggalakkan umat Islam melancong atau mengembara dan berkongsi pengalaman sesama pentadbir dan pengamal pelancongan Islam.

Pemuda Perak Diarah Buat Penerangan Mengenai Kemelut Politik

IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Jentera Pemuda Umno Perak di setiap bahagian diarah turun padang serta-merta bagi membuat penerangan mengenai proses perundangan yang sedang diambil dalam menyelesaikan kemelut politik di negeri ini, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata penerangan itu hendaklah sampai kepada generasi muda walau di mana mereka berada bagi memastikan mereka mendapat gambaran sebenar masalah tersebut serta penyelesaian yang sedang dan akan diambil.

"Keadaan politik di negeri ini masih tidak menentu dan tidak semua mereka (golongan belia) dan akar umbi mengetahui dan memahami kemelut yang melanda negeri ini.

"Kempen penerangan yang jelas hendaklah bermula sekarang supaya gambaran yang jelas diberikan kepada pengundi," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama Ketua Pemuda Umno Malaysia di Bangunan Umno di sini malam tadi.

Beliau berkata penyampaian maklumat yang tidak tepat dan tidak berkesan menyebabkan pengundi di peringkat akar umbi tidak memahami apa yang sedang berlaku.

"Keadaan ini menyebabkan mereka menerima bulat-bulat propaganda yang diuar-uarkan pembangkang," katanya.

11 Mei 2009

Program NUR@rumah Tingkat Status Kesihatan Golongan Ibu

KUANTAN, 10 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melaksanakan program turun padang yang dikenali NUR@rumah bagi meningkatkan status kesihatan dan kualiti hidup keluarga terutama golongan ibu.

Menterinya Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata melalui program ini pasukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan melakukan lawatan ke rumah mereka yang dikenal pasti, bagi memberi khidmat nasihat berhubung kesihatan reproduktif termasuk perancangan keluarga, saringan kanser payudara dan ujian saringan kesihatan.

Beliau berkata ia berikutan ramai di kalangan masyarakat dalam negara ketika ini yang masih tidak tahu mengenai kaedah dan teknik terbaru dalam merancang keluarga.

"Terpulang kepada mereka untuk menentukan berapa ramai anak mereka mahu, tetapi tanggungjawab kerajaan adalah untuk menentukan kesihatan ibu dan anak terjaga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program perintis NUR@rumah di Kampung Pantai Beserah di sini, hari ini.

Beliau berkata program khas bagi mereka yang tidak berkemampuan dan tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan LPPKN itu juga diharap dapat mengurangkan kadar kematian ibu dalam negara.

Shahrizat berkata kadar kematian ibu yang baru melahirkan anak di Malaysia masih rendah berbanding negara-negara lain dengan nisbah 30 kematian daripada 100,000 ibu bersalin.

"Tetapi kerajaan dengan kecanggihan teknologi dan perkhidmatan yang ada sekarang tidak mahu walau satu pun kematian akibat melahirkan anak," katanya.

Sementara itu, sempena sambutan hari ibu pada hari ini, Shahrizat turut menggesa golongan muda yang terlibat di dalam aktiviti tidak sihat seperti Mat Rempit dan jenayah ragut agar menghentikan perbuatan itu demi kasih terhadap ibu.

"Kalau sayang ibu, jangan buat perkara ini, kembalilah ke rumah, itu hadiah paling istimewa terhadap ibu dan keselamatan negara," katanya.

Umno Tidak Boleh Lagi Bersandar Kepada Nostalgia - Najib

PEKAN, 10 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno tidak boleh lagi bersandar kepada nostalgia perjuangan, sentimen dan jasa-jasanya kepada bangsa dan negara jika mahu terus relevan kepada rakyat.

Presiden Umno itu berkata Umno kini perlu peka dengan perubahan sekeliling bagi mengekalkan kedudukannya di hati rakyat.

"Jangan fikir yang sokong kita, tapi juga yang tidak sokong kita, dalam perniagaan misalnya, bukan sekadar jaga pelanggan kita, tapi fikir kenapa ada yang tidak jadi pelanggan kita," kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan mesyuarat kelompok cawangan Umno Bahagian Pekan, di sini, hari ini.

Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan berkata persekitaran politik yang berbeza berbanding ketika Umno dilahirkan dahulu, memerlukan Umno untuk berani membuat perubahan selaras dengan perubahan persekitaran politik semasa.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib berkata terdapat dua unsur yang perlu diberi perhatian dalam usaha memastikan Umno terus relevan.

"Pertama, masyarakat kita lebih terdidik dan bermaklumat hasil daripada kejayaan yang dibawa Umno dan Barisan Nasional itu sendiri, kedua, golongan pasca merdeka atau pasca peristiwa-peristiwa besar seperti 13 Mei, yang mana mereka hanya belajar (peristiwa itu) menerusi buku atau (mendengar) secara lisan.

"Jadi untuk ini, Umno perlu melakukan perubahan daripada segi pemikiran, strategi politik, pendekatan, termasuk cara kita berkomunikasi tentang dasar yang diperjuangkan Umno," katanya.

Najib berkata Umno juga perlu mampu "berbicara" menerusi media baru atau alam maya seperti laman web kerana kebanyakan golongan muda kini dilihat lebih berminat mendapatkan maklumat menerusi media alternatif itu berbanding media perdana.

"(Selain itu) Cara kita berurusan dengan orang ramai, mereka mengharapkan kita menyelesaikan masalah mereka dengan pantas, jadi banyak lagi perkara perlu kita lakukan," katanya.

Najib berkata semua pemimpin Umno juga telah diarahkan supaya berurusan dengan semua pihak dan menyelesaikan masalah mereka dan tidak hanya tertumpu kepada anggota Umno sahaja.

"Kita telah keluarkan arahan supaya (pemimpin Umno) berurusan dengan semua pihak dan tidak tertumpu kepada ahli Umno sahaja, Umno mesti mewakili semua golongan, semua pihak, semua kelompok dalam masyarakat kita," katanya.

Ditanya mengenai sokongan golongan muda terhadap Umno, Najib berkata golongan itu ibarat kain putih, yang perlu diberi maklumat yang benar agar tidak terpesong dengan dakyah pihak-pihak tertentu.

"Saya anggap mereka kain putih, terpulang kepada kita, kalau mereka dapat maklumat sebenar, mereka akan sokong kita, kalau diselewangkan dan kita gagal menyampaikan apa sebenarnya, mereka akhirnya akan terpengaruh walaupun cerita itu tidak benar," katanya.

Apa yang penting untuk Umno terus kekal relevan, Najib berkata ianya mestilah mampu dan berani melakukan perubahan.

"Perubahan kepada gaya, cara kepimpinan, pendekatan yang digunakan, strategi politik, wacana, komunikasi yang diamalkan, imej parti, termasuklah pembaharuan fizikal".

Anak Golongan Berpendapatan Rendah Mampu Cemerlang Dalam Pelajaran

KUANTAN, 10 Mei (Bernama) -- Kajian menunjukkan bahawa anak golongan berpendapatan rendah, bukan saja mampu mencapai kejayaan yang setanding, malah lebih baik daripada anak golongan berpendapatan tinggi, jika mereka menerima pendidikan dan penjagaan yang berkualiti tinggi.

Berlandaskan hakikat inilah, maka kerajaan memberi penekanan terhadap pentingnya penjagaan dan pendidikan berkualiti tinggi diberikan kepada kanak-kanak sejak mereka kecil lagi, kata Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya bersyukur kerana Kerajaan Malaysia amat mementingkan usaha menyemai di dalam hati dan minda anak-anak kita nilai serta sifat yang betul mengenai pelajaran sejak mereka kecil lagi," kata beliau.

Rosmah berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kanak-kanak Sebagai Aset Negara; Pengalaman Malaysia' pada Persidangan Kesembilan Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) bagi Rantau Asia Tenggara dan Timur Jauh di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan presiden ACWW sedunia Datuk Ursula Goh.

Rosmah berkata kerajaan telah membuat pelaburan daripada segi masa, tenaga, wang dan kasih sayang dalam menyediakan pendidikan serta penjagaan berkualiti kepada kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

"Setiap orang berfikir dan memiliki perasaan sebagai seorang ibu atau bapa, yang ingin melihat masa depan yang lebih baik bagi anak mereka dan sanggup berkorban apa saja bagi menjamin masa depan negara yang lebih cerah," katanya.

Rosmah berkata pembangunan peringkat awal kanak-kanak menjadi asas dalam pembentukan modal insan yang berkualiti; memberi pulangan paling tinggi daripada segi pembangunan ekonomi dan cara paling berkesan daripada segi kos dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan serta memupuk pertumbuhan ekonomi.

Kata beliau hasil penyelidikan menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menyertai program pembangunan dan pendidikan awal mencapai kejayaan yang lebih tinggi semasa bersekolah dan dalam kehidupan, berbanding mereka yang tidak Menyertainya.

"Kualiti kehidupan seseorang kanak-kanak dan sumbangannya terhadap masyarakat setelah dewasa, mempunyai kaitan dengan lima tahun pertama usia kehidupannya," kata beliau sambil menambah bahawa kanak-kanak yang tidak mendapat sokongan pada peringkat awal kehidupannya, berkemungkinan besar akan tercicir dalam pelajaran.

Oleh itu, kata beliau, pendidikan awal kanak-kanak perlu mendapat sokongan kuat daripada para penggubal dasar dan undang-undang.

Persidangan empat hari itu, yang bermula hari ini, dihadiri 300 anggota perwakilan dari 11 negara, termasuk Afrika Selatan, Australia, Korea Selatan, Brunei, Indonesia dan Malaysia.

07 Mei 2009

Majlis Tertinggi BN Tentukan Kedudukan Di Penanti - Najib

KOTA KINABALU, 5 Mei (Bernama) -- Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan memutuskan sama ada perlu bertanding atau sebaliknya dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kawasan Penanti pada 31 Mei ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya tak fikir ini (Penanti) isu Umno sahaja sebab bila kita bertanding... kita bertanding atas tiket Barisan Nasional.

"Kita tidak tergesa-gesa membuat keputusan. Kita ini parti begitu kuat pada kerja untuk kebajikan rakyat," katanya pada persidangan berita di sini, Selasa.

Najib, yang juga pengerusi BN berkata keputusan mengenai kedudukan Penanti akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Kerusi (DUN) Penanti kosong setelah bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkannya dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran.

Ketika diminta mengulas keputusan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan dan anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Au Kam Wah, menyertai Parti Gerakan, parti politik yang berpangkalan di Semenanjung, setelah tidak mempunyai parti selama hampir sembilan bulan, Najib berkata Tan bersama Au sudah berjumpa dengan beliau dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman semalam untuk memaklumkan perkara itu.

"Raymond menyatakan bahawa selepas berfikir semasak-masaknya beliau mengambil keputusan untuk memasuki parti Gerakan atas beberapa sebab.

"Antaranya ialah bahawasanya parti Gerakan adalah satu parti berbilang bangsa dan dia dapat menonjolkan dirinya sebagai pemimpin untuk semua kaum dan semua penyokongnya boleh menyertai bersama-sama dengan dia," katanya.

Mengenai kedudukan Tan dalam Kabinet negeri, Najib berkata perkara itu akan ditentukan kemudian.

"Itu kita serahkan kepada kuasa prerogatif Ketua Menteri dan lepas itu, Ketua Menteri akan buat cadangan kepada saya," katanya.

Jakim Akan Keluarkan Garis Panduan Konsep 1Malaysia - Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeluarkan garis panduan mengenai konsep 1Malaysia sebagai panduan kepimpinan negara, ketika berucap pada satu-satu majlis, bagi mengelak salah tafsiran dan tanggapan negatif masyarakat mengenainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kepimpinan negara memerlukan garis panduan khusus mengenai konsep itu supaya apa yang diucapkan dapat difahami rakyat.

Katanya, sehingga kini rakyat belum dapat memahami konsep tersebut secara mendalam kerana matlamat dan gagasan 1Malaysia sering diputar belit pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

"Sebelum konsep ini dipolemikkan dengan lebih parah oleh pihak-pihak berkepentingan, kita perlu menyediakan panduan supaya gagasan ini dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci agar ia berupaya membangunkan agama, bangsa dan negara," katanya selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat mengenai Konsep 1Malaysia di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan di sini, Selasa.

Jamil Khir berkata, garis panduan itu akan dirangka berdasarkan resolusi yang akan dihasilkan semasa persidangan meja bulat tersebut.

Jamil Khir berkata, garis panduan itu akan terkandung dalam buku kecil yang akan disebarkan ke seluruh negara agar semua pihak memahami hasrat baru kepimpinan negara.

Beliau menyarankan pihak media turut memainkan peranan mereka dengan menyebarkan resolusi itu.

"Kita mahu konsep, falsafah dan hala tuju gagasan 1Malaysia yang diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dapat diselami dan difahami secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat, katanya.

Persidangan sehari itu dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin, bekas penasihat Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Muhammad Uthman Al-Muhammady.

03 Mei 2009

Shafie Pantau Pelaksanaan Projek Luar Bandar

MELAKA, 2 Mei (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang memantau pelaksanaan projek yang melibatkan peruntukan RM1 bilion bagi membantu masyarakat luar bandar di seluruh negara.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk projek infrastruktur manakala RM500 juta lagi untuk projek perumahan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin(PPRT).

"InsyaAllah dalam masa terdekat dalam dua tiga minggu ini, saya akan turun ke bawah untuk melihat bagaimana pelaksanaan projek ini yang kita telah rancangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan adik kepada setiausaha akhbar beliau Meor Hafizan Abd Ghani iaitu Yang Munirah Abdul Ghani dengan pasangannya Mohd Azlan Mohamad di Taman Temu Jaya, Padang Temu di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata sebelum ini arahan telah dikeluarkan supaya agihan peruntukan itu dikhususkan kepada kawasan luar bandar yang amat memerlukan dan kaedah pelaksanaanya adalah yang terbaik dan berkesan.

Beliau berkata terdapat sebahagian projek telah dilaksanakan manakala sebahagian lagi masih di peringkat dokumentasi.

"Saya minta diwujudkan satu bilik operasi untuk memantau supaya pelaksanaan projek ini berjalan lancar dalam tempoh yang saya telah tentukan," katanya.

Beliau berkata antara 13,000 dan 14,000 unit rumah PPRT akan dibina di seluruh negara melibatkan peruntukan RM500 juta itu, dalam usaha memastikan penduduk miskin mempunyai rumah sendiri.

Shafie juga berkata peranan agensi di bawah kementeriannya akan disusun semula bagi menyemarak kegiatan ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.